KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Biso Bonar, Datuk Hattan tidak dapat menahan sebak apabila anak saudaranya, Mikael Hatta memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, pagi tadi.
Hattan menemani anak saudaranya, Mikael yang juga anak kepada arwah adiknya, Allahyarham Mohd Hatta Shahbuddin mengambil keputusan di Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya.
Hattan mengakui terkilan kerana arwah adiknya tidak dapat menyaksikan saat bermakna itu.
Katanya, jika arwah masih ada tentunya amat berbangga dengan pencapaian anak tunggalnya itu.
"Arwah memang sangat bangga dengan anaknya selama ini kerana Mikael seorang budak yang bijak.
"Itu membuatkan saya rasa sangat tersentuh apabila arwah tiada di sisi untuk menyaksikan hari cukup bermakna ini.
"Sebagai bapa saudara, saya perlu teman Mikael kerana dia perlukan figura bapa," katanya.
Ujar Hattan, anak saudaranya itu ada menerima tawaran biasiswa, tetapi menolaknya kerana bimbang memikirkan mengenai bayaran semula.
"Mikael terima tawaran biasiswa, tapi tak beritahu. Jadi, saya tak tahu yang dia sudah menolak tawaran berkenaan.
"Sekarang Mikael ada hantar beberapa permohonan dan kami tunggu keputusannya. Dia minat bahagian petroleum dan gas.
"Saya sanggup bergolok-bergadai asalkan Mikael dapat menyambung pelajaran seperti yang dicita-citakan.
"Keluarga kami memang sangat pentingkan pelajaran. Walaupun tak berpelajaran tinggi, tapi kami nak anak-anak buah berjaya," kata Hattan.
Allahyarham Mohd Hatta yang juga anak keenam dari tujuh beradik meninggal dunia pada Syawal kelima lalu akibat masalah jantung.
Kredit: Berita Harian
0 Comments