Besut:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas dilanggar
kenderaan dipandu bapanya di kawasan rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor,
Kluang, Kampung Raja, di sini, hari ini.
Ketua Polis
Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima
laporan berkenaan kematian kanak-kanak lelaki itu semasa mendapatkan rawatan di
Klinik Kesihatan Gong Medang selepas disahkan meninggal dunia pada jam 10.30
pagi.
Katanya,
siasatan awal dijalankan dan mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak
mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh
kenderaan di halaman rumah.
"Bapa
mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu sedang bermain telefon bimbit di atas
tangga rumah dan bergerak menuju ke arah kenderaan dipandu lelaki itu dan
menyebabkan pemandu itu terlanggar anaknya.
"Kejadian
dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya
membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan
meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rozak
berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001
dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau
berkata, proses bedah siasat masih dijalankan untuk mengenalpasti kecederaan
dialami mangsa.
Katanya, ibu
bapa perlu lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman
terutamanya yang mempunyai anak kecil serta sentiasa mengawasi mereka untuk
mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Kredit: Berita Harian
0 Comments