Suspek (kiri) berjaya diberkas beberapa jam selepas penemuan mayat isterinya. - Foto Tribunnews |
Seorang lelaki dari Tanjungbatu, Kundur, Indonesia
tergamak menikam isterinya dengan menggunakan berus gigi sehingga maut,
gara-gara sakit hati kerana mendakwa wanita berkenaan malas melakukan kerja
rumah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kundur
Utara, AKP Hendriyal, dalam kejadian pada pagi Ahad (5 Mei), mangsa yang
dikenali sebagai Risma Fatmawati, 18, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di
bilik tidur oleh ibunya, Norida.
Ketika itu, Norida yang menyangka anaknya masih belum bangun daripada
tidur, terkejut apabila mendapati mangsa sudah tidak bernyawa selain terdapat
sebatang berus gigi tercucuk pada lehernya.
Tambah Hendriyal, polis berjaya menahan suami mangsa beberapa jam selepas
penemuan mayat tersebut.
Tangkapan dilakukan anggota Polis
Kundur Utara ketika suspek mahu melarikan diri ke Karimun.
Ketika disoal siasat, suspek
mengaku nekad membunuh isterinya kerana sakit hati yang dipendam sejak sekian
lama.
"Setiap kali saya pulang
kerja, dia tidak pernah memasak. Selalunya saya makan sendiri.
"Kalau saya suruh dia masak
atau basuh baju, dia selalu cakap dia bukan orang gaji dalam rumah,"
katanya.
Suspek juga mendakwa ibu mentuanya
sering campur tangan dalam hal rumah tangganya dengan mangsa.
Malah dakwa suspek, ibu mentuanya
sering kali menyuruh isterinya (mangsa) mencari lelaki lain.
Suspek dalam pada itu mengaku dia cemburu kerana mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Sumber: Tribunnews
0 Comments