Kuala Lumpur: Meminta maaf dan memaafkan tidak perlu meletakkan sebarang syarat apatah lagi sehingga mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain.
Penceramah bebas, Syamsul Debat berkata, memohon maaf dan memaafkan, perkara paling mulia di sisi Allah, namun paling berat dilakukan.
"Selalu dalam ceramah, saya cakap minta maaf dan memaafkan ini syaratnya satu saja iaitu tidak perlu ada sebarang syarat.
"Maknanya, kalau hendak memaafkan orang, jangan letak syarat, contohnya ramai orang kita ini kalau minta maaf kena macam itu atau macam ini sedangkan itu bukan caranya.
"Cara Islam, yang meminta maaf dan memaafkan perlu ikhlas dan sama-sama merendahkan diri bukannya sampai menjatuhkan maruah orang lain," katanya.
Beliau mengulas tindakan isteri kepada penyanyi rap dan aktivis, Caprice yang meminta seorang lelaki melutut sebagai permohonan maaf atas keterlanjuran individu itu menghina bayi mereka, Airiel Qashaf, dalam mesej langsung (DM) sebelum ini.
Mengulas lanjut, Syamsul berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku kerana bukan dianjurkan Islam, apatah lagi ketika ini masih dalam bulan mulia, Syawal.
"Tak kisah hendak meminta maaf itu secara terbuka tetapi jangan sampai memalukan orang kerana Islam tak ajar macam itu.
"Mungkin kita hendak cerita dekat orang lain dia itu buat apa, tetapi apa yang lebih penting kita hendak pelaku itu meminta maaf.
"Bukan bermakna yang meminta maaf itu juga perlu meletakkan diri sampai macam itu sekali kerana sepatutnya pihak yang memaafkan juga perlu sama-sama merendahkan diri," katanya.
Semalam, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, berkongsi rakaman video dia dan isterinya, Farra Inalis akhirnya bersemuka dengan lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat termasuk menyamakan Airiel Qashaf berusia dua bulan seperti haiwan.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram, individu itu dilihat melutut di hadapan Farra Inalis selepas wanita itu berang dan mengarahkannya membuat tindakan itu untuk meminta maaf.
Caprice dilihat tenang dan berjaya mengawal keadaan sebelum akhirnya membawa individu itu solat di sebuah masjid selepas diberi pilihan sama ada ke balai polis atau ke rumah ibadat itu.
Di akhir rakaman itu, Caprice turut bersalam dan memeluk individu itu serta menyerahkan sejumlah wang untuk diberikan kepada ibu lelaki berkenaan.
Sebelum ini, Caprice tekad mencari dan mahu bersemuka dengan individu itu dengan berkongsi tangkap layar DM lelaki itu yang menghina bayinya.
Pengarah Malaysia Michael Ang, turut memberikan respond atas kontroversi ini, menurutnya dia terkejut selaku muallaf minta maaf secara berlutut biasanya dilakukan oleh orang Cina dihadapan patung Tuhan mereka.
Kredit: Harian Metro
0 Comments