Pak Ya berdepan masalah hempedu, jantung

Pak Ya berdepan masalah hempedu, jantung


KUALA LUMPUR: Pelawak Ebby Yus, 60, memaklumkan sahabatnya juga pelawak Ilya Buang atau lebih mesra disapa Pak Ya, 57, ditahan di wad kerana terdapat batu pada bahagian hempedu, selain berdepan masalah jantung.


Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, Pak Ya mengalami kesakitan setiap kali makan dan disebabkan itu, doktor menjalankan prosedur 'endoscopy' terhadapnya.



"Khamis lalu, Pak Ya hantar gambar pergi klinik berjumpa doktor. Dia ada tunjuk tekanan darah agak tinggi. Keesokan harinya, dia mesej saya kena tahan di wad.



"Doktor mengesyaki terdapat batu dalam hempedu yang menyebabkannya rasa sakit bila makan. Rasa sakit sampai ulu hati. Cuma, saya tak pasti tahap keseriusannya.



"Dia juga memaklumkan doktor mahu membuat prosedur 'endoscopy' untuk lihat bahagian usus jika bermasalah. Sabtu lalu, saya sempat pergi jenguk Pak Ya," katanya.



Namun begitu, Ebby berkata, keadaan Pak Ya baik-baik sahaja, mungkin akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat.



"Ketika saya lawat, Pak Ya okay sahaja, boleh gelak-gelak. Dia beritahu hasil 'endoscopy' itu okay. Cuma, jantungnya masalah sikit.



"Sudah lama saya tahu, biasalah saya pun alami penyakit sama. Pak Ya beritahu, doktor cakap jantungnya tak berapa cantik.



"Dia sepatutnya kena buat prosedur pembedahan buang batu dalam hempedu. Tapi, ia bergantung kepada pemeriksaan doktor terhadap jantung.



"Sama ada jantung kuat atau tidak, boleh terima pembedahan atau sebaliknya. Andainya semua okay, mungkin dia akan menjalani pembedahan dalam minggu ini," katanya.



Terdahulu, Ebby berkongsi hantaran dalam Instagram melawat Pak Ya di hospital dan memohon orang ramai mendoakan urusannya dipermudahkan.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments