Seorang isteri di Musi Banyuasin, Sumatera Selatan,
Indonesia nekad menyimbah suaminya dengan asid sulfurik, selepas mendapat tahu
lelaki berkenaan bernikah dengan wanita lain.
Kejadian yang berlaku pada 21
April lalu bermula apabila suspek yang berusia 34 tahun dan merupakan seorang
suri rumah, ternampak hantaran di media sosial memaparkan suaminya
melangsungkan pernikahan.
Menurut Ketua Perhubungan Awam
Polis, AKP Susianto, perbuatan tersebut dilakukan suspek di kediamannya di Desa
Babat, gara-gara terlalu berang dengan tindakan suaminya.
"Pelakunya seorang suri rumah yang menuang asid sulfurik (air keras) ke
atas tubuh badan suaminya.
"Daripada hasil pemeriksaan,
suspek mengakui kejadian bermula apabila dia ternampak posting di media sosial
Facebook, gambar suaminya berkahwin dengan wanita lain," katanya.
Akibat tindakan suspek, suaminya mengalami kelecuran pada muka, tangan kiri dan
kanan, dada dan perut.
Suspek turut lari dan
menyembunyikan diri selepas melakukan perbuatan berkenaan, namun akhirnya
menyerah diri kepada pada Rabu lalu.
Suspek yang didakwa di bawah akta keganasan rumah tangga bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan.
Sumber: Detik.com
0 Comments