Penduduk berpesta tangkap ikan Arowana, pegawai agama Islam suruh pulangkan semula kepada tuannya

Penduduk berpesta tangkap ikan Arowana, pegawai agama Islam suruh pulangkan semula kepada tuannya


Johor Bahru: Penduduk sekitar Layang dan Simpang Renggam yang menangkap ribuan ikan spesis arowana yang hanyut dari sebuah kolam pecah perlu memulangkannya semula.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled berkata, ikan ditemukan itu jelas milik individu dan sepatutnya dipulangkan kepada pemilik asal.


"Jika jelas ia milik orang dan kita tahu siapa pemiliknya, hendaklah kita pulangkan kepada pemilik.


"Itulah sebaik-baik akhlak sebagai seorang muslim khususnya malah semua ajaran agama mendidik kita agar tidak mengambil hak orang lain.


"Ia berikutan kita tidak boleh makan atau mengambil sesuatu yang bukan hak kita bahkan kita bimbang ia menjadi darah daging kita, jika ia dari sumber yang tidak sah.


"Melainkan pemilik ikan memberi izin atau menghalalkannya, maka itu rezeki kepada sesiapa yang menjumpainya," katanya ketika dihubungi.


Semalam media melaporkan ribuan ikan spesis arowana ditemukan dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam, sejak kelmarin.


Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.


Justeru penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menangkap ikan terbabit menggunakan jala dan jaring.


Malah ada yang menjadikan ikan hiasan berkenaan sebagai hidangan makan tengah hari.


Video aktiviti penduduk menangkap ikan berkenaan tular di media sosial sejak semalam.


Spesis ikan berkenaan turut hanyut hingga ke Sungai Sayong dan Kota Tinggi. 

Post a Comment

0 Comments