Klang: "Kami tak jentik orang, ada dalam dunia sendiri
saja, sibuk cari rezeki jual laksa dan jarang ada dengan orang lain melainkan
keluarga.
"Jadi kenapa perlu dengki, tabur fitnah dan cuba
lagakan dengan orang lain sedangkan antara kami tiada masalah," kata Syed
Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 32.
Syed Muhammad Syah memberi reaksi itu ketika diminta
mengulas mengenai dakwaan dia dan isteri, Fatin Syazwani Ishak, 26, sebagai
pempengaruh bermasalah.
Menurut Syed Muhammad Syah Hasif, nama mereka 'dipetik'
oleh segelintir netizen susulan pendedahan dibuat pelakon dan pengarah
berpengalaman, Fauziah Ahmad Daud atau mesra disapa Kak Ogy dalam satu program
mengenai sikap dua pempengaruh yang menyusahkannya di sebuah set penggambaran.
Katanya, dia tahu dirinya dan isteri dikaitkan dengan isu
itu daripada pembantu peribadi mereka dan pada awalnya tidak mengendahkannya.
Bagaimanapun, Syed Muhammad Syah Hasif mula ambil serius
selepas isu berkenaan berlarutan selama lebih seminggu hingga dia kehilangan
sembilan tawaran kerja daripada syarikat dan pengasas produk gara-gara dakwaan
tidak berasas itu.
"Memang ada orang 'tag' saya pada video Kak Ogy di
TikTok itu namun tak ambil serius pun tapi semakin hari semakin menjadi sampai
ada pengasas produk serta syarikat tarik balik tawaran kerjasama dengan mereka.
"Sedangkan, isu bukan dari kami tapi nama dipetik
malah kami tak pernah jumpa, berhubung atau bekerjasama pun dengan Kak Ogy.
"Jadi, saya fikir tak boleh terus berdiam dan Jumaat
lalu, saya hantar kiriman mesej di Instagram (IG) Kak Ogy untuk ceritakan
kepadanya.
"Kak Ogy terus hubungi saya maklumkan terkejut dengan
fitnah dilemparkan dan tak sangka ia jadi isu panas. Dalam perbualan itu, Kak
Ogy beritahu saya dia akan buat video khas untuk membersihkan nama saya dan
semalam beliau sudah pun muat naiknya di IG," katanya.
Syed Muhammad Syah Hasif berharap, apa yang berlaku tidak
berulang kerana boleh menutup periuk nasinya yang turut mencari rezeki dengan
menjual laksa.
Katanya, bukan mudah dia dan isteri membina nama di laman
sosial tetapi dengan mudahnya dirosakkan oleh individu yang sengaja mewujudkan
persepsi negatif terhadapnya.
"Bila ada isu negatif, orang anggap semua pempengaruh
sama dan mungkin kaitkan kami kerana saya dan isteri sering berdua.
"Lagipun, nama kami pun pernah digugurkan sebuah
syarikat produksi sebelum ini tapi itu bukan kerana masalah disiplin.
"Tapi apabila ada isu, nama kami pula dipetik tapi saya dan isteri hormat dengan Kak Ogy kerana bantu jernihkan keadaan malah sangat merendah diri walaupun beliau popular serta orang lama dalam industri," katanya.
Dalam video kak Ogy, beliau turut menegaskan bahawa memang ada dua orang influencer bermasalah dan menyusahkan kru produksi, tetapi bukan Prince Shahid dan isteri ujarnya.
Kredit: Metro
0 Comments