Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 51, dipercayai kembali bergelar isteri selepas 17 tahun hidup bersendirian.
Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku dilihat berkongsi video pada majlis pernikahan.
Namun, identiti jejaka yang berjaya menawan hati dan butiran majlis perkahwinan tidak didedahkan.
Bagaimanapun, Raja Azura hanya menulis kapsyen ringkas dalam laman Instagram (IG), malam tadi.
"Alhamdulillah... syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnianya. Semoga ikatan ini kekal hingga ke jannah.
"Kepada yang selalu mendoakan, dari sendirian kini telah berdua. Terima kasih yang Allah," tulisnya.
Hantaran dimuat naik ibu kepada tiga cahaya mata itu, malam tadi mengundang perhatian rakan selebriti yang rata-ratanya terkejut, namun mendoakan perkahwinan keduanya bekas penyampai radio Sinar FM itu dikurniakan kebahagiaan hingga ke syurga.
Antara rakan artis yang meninggalkan ucapan di ruangan komen termasuklah Janna Nick, Mmi Flyy, Datuk Fizz Fairuz, Azza Elite, Aziz M Osman dan ramai lagi.
Seakan mengesahkan berita pernikahannya, bekas pengacara Melodi itu kemudiannya dilihat berkongsi sekeping foto berpakaian sedondon rona biru gelap, sambil memaut tangan suaminya yang turut disertakan emoji hati dalam IGs.
Sementara itu, penyampai radio, Sharifah Shahirah ketika dihubungi tidak tahu menahu mengenai pernikahan rakan baiknya.
"Saya tak tahu sebab tidak terima undangan," jawabnya ringkas.
Sehingga kini, media masih berusaha mendapatkan komen Raja Azura, namun mesej dan panggilan tidak dijawab.
Terdahulu, Raja Azura pernah mendirikan rumah tangga bersama anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff iaitu Adzmin Osman pada Mac 2001, namun bercerai pada 28 September 2010.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 22, Megat Luqman Hakim, 21, dan Puteri Mia Maizura, 19.
Hanya Gimik
Keluarga terdekat enggan nama dan identiti didedahkan menafikan berita pernikahan pengacara dan pelakon Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 51, yang hangat diperkatakan sejak semalam.
Menurut sumber berkenaan, gambar dimuat naik oleh Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku bersama seorang lelaki yang mengenakan pakaian sedondon berwarna biru bukanlah suami baharunya.
"Itu bukan majlis pernikahan Raja Azura, ia adalah majlis anak saudara suami saya. Lelaki yang bergambar dengan Raja Azura memang pengantin lelaki, tapi dia bukanlah pengantin perempuannya.
"Pengantin lelaki adalah anak saudara suami saya. Secara kebetulan, mereka pakai sedondon dalam gambar itu," katanya.
Perkahwinan sebenar membabitkan Raja Muzaffar Idris Shah Raja Izzuddin Iskandar Shah Al-Haj.
Malah, berdasarkan hantaran video di Tiktok @saifalsagoff memaparkan pasangan mempelai sebenar yang sedondon mengenakan busana warna putih pada upacara pernikahan.
Turut kelihatan, Raja Azura yang masuk dalam dewan dengan disusuli pembawa dulang hantaran.
Semalam, Raja Azura berkongsi video pada majlis pernikahan. Menerusi video itu, bekas penyampai radio Sinar FM itu menulis kapsyen ringkas.
"Alhamdulillah… syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnianya. Semoga ikatan ini kekal hingga ke jannah.
"Kepada yang selalu mendoakan, dari sendirian kini telah berdua. Terima kasih ya Allah," tulisnya.
Hantaran dimuat naik ibu kepada tiga cahaya mata itu mengundang perhatian rakan selebriti yang rata-ratanya terkejut dengan perkongsian dibuat, namun mendoakan agar perkahwinan keduanya itu dikurniakan kebahagiaan hingga ke syurga.
Sumber: Berita Harian
0 Comments