Naaz terpaksa
menjual motosikal kesayangan demi ibu tercinta.
Pengorbanan seorang anak demi melihat ibunya yang sakit
sembuh seperti sedia kala meraih perhatian ramai.
Naazrie Ali atau Naaz, sanggup
'melepaskan' motosikal jenama Yamaha Y15 miliknya yang baru dibeli pada tahun
lalu untuk menampung kos rawatan ibunya.
Menurut pemuda berusia 22 tahun
itu, ibunya memerlukan RM15,000 untuk melakukan pembedahan membuang benjolan
lemak yang tumbuh dalam kulit atau dikenali sebagai lipoma.
Naaz menjual motosikal Yamaha Y15 miliknya untuk menampung kos rawatan ibu.
"Saya merupakan seorang
runner yang bekerja hantar barang. Tapi saya terpaksa jual motosikal kesayangan
yang saya guna untuk kerja ni demi cukupkan kos pembedahan ibu.
"Buat masa sekarang duit yang terkumpul ada sekitar RM6,000. Jadi ini saja jalan yang saya nampak boleh dapatkan duit segera," ujarnya.
Sebelum ini, rakaman video
menunjukkan Naaz sedang duduk sambil merenung motosikalnya sebelum dijual
meraih perhatian netizen selepas dikongsikan di TikTok.
Rata-rata netizen bersimpati malah
berhasrat untuk menyalurkan sumbangan kepadanya selepas melihat video tersebut.
Tambah Naaz, pada Isnin dia akan
membawa ibunya ke hospital untuk membuat pemeriksaan MRI (magnetic resonance
imaging) dan seterusnya mendapatkan tarikh pembedahan.
Bagaimanapun, Naaz dengan rasa
rendah diri menolak sumbangan atau derma daripada orang ramai kerana mempunyai
alasannya sendiri.
"Saya memang tak buka atau
minta sumbangan daripada sesiapa. Bagi saya masih ramai lagi orang di luar sana
lebih layak dan sepatutnya terima bantuan.
Saya memang tak buka atau minta sumbangan daripada sesiapa. - NAAZRIE ALI
"Saya anggap semua ini ujian
untuk saya. Saya masih boleh lagi usahakan sendiri. Saya baru saja nak
menggunakan akaun TikTok sepenuhnya.
"Saya bercadang nak jana
pendapatan menggunakan akaun TikTok. Semoga ramai yang akan support
perniagaan saya," jelasnya yang berasal dari Sabah.
Dalam pada itu Naaz turut mengakui
keadaan kewangannya tidak begitu stabil pada masa ini.
Bapanya merupakan seorang buruh
binaan yang mempunyai pendapatan tidak tetap.
Hantaran tular dikongsikan Naaz di TikTok.
Menurut anak keempat daripada
tujuh adik beradik itu, motosikal tersebut bakal dijual kepada rakannya pada
harga RM4,000.
"Motosikal tu sudah ada orang
nak beli iaitu kawan saya sendiri. Jadi saya akan jual dekat dia.
"Tapi saya cuma cagarkan saja
dulu motosikal tu. Insya-Allah kalau ada rezeki nanti saya nak ambil semula.
"Semestinya saya sayang
sangat motosikal tu. Saya baru saja guna setahun lebih. Tapi apakan daya, saya
lebih sayangkan ibu lagi," ujarnya lagi.
0 Comments