Sayu dengar jeritan dalam rumah terbakar, identiti penghuni rumah dikenalpasti

Sayu dengar jeritan dalam rumah terbakar, identiti penghuni rumah dikenalpasti

 


Tular video kejadian kebakaran sebuah rumah di Alor Setar, Kedah dan kedengaran kanak-kanak menjerit dalam rakaman itu sehingga mengundang sayu dalam kalangan netizen.


Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah menafikan kejadian itu menyebabkan tiga kanak-kanak maut sebagaimana yang didakwa di media sosial.




Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Kampung Kubang Siam, Alor Janggus pada petang Selasa.


Beliau bagaimanapun berkata, insiden yang berlaku di rumah dua tingkat itu tidak melibatkan mangsa.





"Difahamkan terdapat seorang kanak-kanak yang sedang tidur di dalam rumah dan apabila tersedar mendapati rumahnya terbakar sebelum berlari keluar.


"Dia kemudian memberitahu adik dia ada di dalam rumah, sedangkan seorang adiknya ke kelas agama manakala seorang lagi keluar bersama ibunya. Kejadian ini tidak melibatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Ahmad Naufal berkata, insiden tersebut mengakibatkan rumah musnah 90 peratus, manakala sebuah kereta jenis Proton Waja rosak lima peratus.


Terdahulu, video dengan maklumat kononnya tiga kanak-kanak menjerit sebelum ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Kubang Siam, dekat Alor Setar, tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Post a Comment

0 Comments