KUALA LUMPUR: Norish Karman, 50, sedih dan kecewa apabila banyak tawaran
berlakon yang diterima memintanya membuka tudung sejak beberapa tahun lalu.
"Sejak bertudung pada 2018, saya tidak dapat tawaran berlakon dan
memberi kesan besar kepada sumber kewangan dan ekonomi keluarga.
"Selepas bercerai, saya tidak dapat sebarang harta daripada bekas
suami. Rumah dan kereta dimiliki dengan hasil usaha sendiri bersama anak-anak.
"Saya juga berhempas-pulas membesarkan lapan anak termasuk empat
anak angkat sejak 12 tahun bergelar ibu tunggal," katanya.
Mengenai tudung, kata pelakon filem Sayang Salmah itu, dia pernah bertanya pandangan anak-anak untuk membuka tudung ketika berlakon tetapi tidak dipersetujui mereka.
"Sebagai manusia, iman kita turun dan naik. Saya akui cabaran besar
untuk terus istiqamah.
"Saya juga berharap dapat undangan persembahan nyanyian seperti
acara korporat, majlis kahwin dan sebagainya selepas ini kerana tidak perlu
untuk membuka tudung," katanya yang pernah mewakili negara menerusi
pertandingan World Championship Of Performing Arts (WACOPA) di Los Angeles,
Amerika Syarikat (AS) pada 2010.
Kali terakhir Norish berlakon ialah watak pembantu dalam drama Perempuan
Itu yang bersiaran di TV3 sebelum ini.
Terdahulu, Norish berkongsi melalui hantaran Instagram bahawa banyak
tawaran lakonan dan pengacaraan yang ditawarkan memintanya untuk membuka
tudung.
Norish juga mempersoalkan adakah rambutnya yang menjadi subjek utama
untuk orang menilai bakat lakonannya itu.
Pada masa sama, dia turut meminta pandangan daripada pengikutnya di
Instagram jika dia buat keputusan untuk menanggalkan tudung demi untuk mendapat
tawaran berlakon.
Perkongsian Norish turut mendapat maklum balas daripada pengikutnya
termasuk rakan artis yang meminta dirinya supaya terus istiqamah.
Norish pernah berkahwin dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 11
Januari 1998 dan bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad
Haqiem Amany, 25; Muhammad Hady Amieran, 21 dan Nur Hanyz Amanda, 20.
Norish turut memiliki seorang lagi anak Haq Alexander, 13 dan empat anak
angkat iaitu Hasbi Fadullah, 13; Hasya Farahiya,11; Haziq Fadillah, 10; dan
Hazra Farisya, 5.
Kredit: Berita Harian
0 Comments