Allahyarham
Norzana disifatkan sebagai baik hati, merendah diri dan suka membantu. -Foto
Facebook |
Khabar duka mengenai pemergian pramugari Malaysia
Airlines, Norzana Hanim Hamzah ternyata mengejutkan banyak pihak.
Kesedihan bukan sahaja dirasai
ahli keluarga serta saudara-mara, malah ia turut mengundang hiba rakan sekerja
arwah.
Menerusi perkongsian di media sosial.
wanita dikenali sebagai Rina melahirkan rasa sebaknya tatkala mendapat berita
tentang pemergian Norzana buat selama-lamanya.
Norzana meninggal dunia ketika sedang bertugas di Tokyo Narita.
"Rasa sebak. Kau pergi dulu.
Wanita yang paling sabar aku pernah jumpa dalam berkawan.
"Banyak kenangan bersama
arwah sewaktu sama-sama terbang di awan biru. Tutup sudah cerita suka duka kau,
sebelum dan selepas berkahwin.
"Al-Fatihah sahabatku, moga
Allah tempatkan sahabatku di taman-taman Syurga. Bahagia dan tenang di alam
sana, Norzana Hanim Hamzah," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook,
pada Selasa.
Berkongsi lanjut kepada mStar,
Rina mengakui sedih dengan berita mengejutkan itu.
Bagi wanita berusia 46 tahun itu,
pemergian Norzana yang mesra disapa Zana merupakan satu kehilangan besar dalam
kalangan rakan-rakan.
"Arwah seorang sahabat yang
paling suka membantu dan ambil berat. Jika ada rakan-rakan yang ada masalah,
dialah yang pertama contact dan mendengar masalah kawan-kawan dan cuba
membantu.
"Dia juga sentiasa ingat hari
jadi kawan-kawan dan akan tetap beri ucapan 'selamat' walaupun berjauhan kerana
sedang bertugas di luar negara.
"Arwah sangat caring
orangnya. Teringat wajahnya yang selalu tersenyum," katanya ketika
dihubungi mStar pada Selasa.
Hantaran yang dimuat naik oleh sahabat Norzana.
Menurut Rina, mereka mula
bersahabat ketika sama-sama bertugas di Malaysia Airlines sejak 2008 dan masih
berhubung meskipun dia sudah tidak lagi berkhidmat dengan syarikat itu.
"Kali terakhir kami berjumpa
adalah beberapa bulan lalu, tapi kali terakhir kami bercakap masa Hari Raya
tahun ini. Dia yang call untuk ucap Hari Raya," ujarnya.
Dia seorang wanita yang kuat... keperibadiannya tetap disenangi. - RINA SAHABAT
Menyifatkan arwah Norzana sebagai
penyayang, merendah diri dan lemah-lembut, Rina tetap mengingati pesanan yang
dikongsi arwah kepadanya.
"Arwah sering berpesan...
sebagai wanita, kita kena sentiasa kuat tanpa mengira apa jua situasi yang
dihadapi.
"Dia seorang wanita yang
kuat. Keperibadiannya tetap sama... disenangi sejak dulu dan sentiasa menjaga
hubungan baik dengan kami," katanya yang berharap agar urusan membawa
pulang jenazah Norzana ke tanah air dipermudahkan.
Difahamkan, keluarga Norzana
sedang membuat persiapan bagi urusan membawa pulang jenazah ke tanah air.
Norzana begitu disenangi rakan-rakan.
Pada Isnin, Malaysia Airlines
mengesahkan seorang pramugarinya meninggal dunia ketika sedang transit di
Tokyo, Jepun.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan
itu berkata, Norzana sedang bertugas di Tokyo Narita dan dijadualkan
mengendalikan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
"Syarikat penerbangan sudah
berhubung dengan keluarga Norzana dan akan memberi sokongan kepada mereka dalam
masa yang sukar ini.
"Doa kami bersama keluarga
dan rakan-rakan Norzana," katanya hari ini.
Terdahulu, laman Facebook yang
didedikasikan untuk kru kabin di seluruh negara memaklumkan, Norzana meninggal
dunia sebelum tiba di Malaysia.
"Punca kematian masih belum
dapat dipastikan, tetapi laporan yang belum disahkan daripada komuniti kru MH
mendakwa dia mungkin terjatuh ketika bersiap untuk penerbangan pulang,"
menurut catatan berkenaan.
0 Comments