KUALA KEDAH: "Alhamdulillah, segalanya sudah selesai
dan kami sudah menjadi suami isteri yang sah.
"Lepas ini tutup buku lama dan buka buku baru dan saya
mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk kami dan
tidak menceritakan perihal buruk kami," kata pembantu pelantar ikan, Mohd
Azlan Ishak, 36.
Mohd Azlan selamat
bernikah dengan pasangannya, Norhidayu Halim, 35, oleh Imam Masjid Al Maarufi,
Muhammad Hazamer Mualim pada jam 6 petang hari ini.
Menurutnya, dia
memohon maaf kepada semua pihak dan mengharapkan sokongan daripada kawan-kawan
untuk membantu kerana ini perkahwinan pertamanya dan kedua buat Norhidayu.
"Saya sudah ada
tanggungjawab sebagai suami dan akan terus tinggal di rumah ibu saya di Taman
Kota Nelayan, di sini dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya
ketika ditemui selepas selesai akad nikah hari ini.
Turut hadir
menyaksikan pernikahan itu, bapa Norhidayu, Halim Saad, 64, dan ibunya, Che Ma
Sebawai, 59, serta sanak saudara dan kenalan.
Sementara itu,
Norhidayu berkata, wang sumbangan yang diterima daripada orang ramai itu akan
digunakan sepenuhnya untuk kos rawatan anaknya, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan
selain membeli barangan keperluan hariannya.
Katanya, wang itu
juga akan digunakan untuk membeli alat pernafasan baru untuk anaknya yang
menghidap paru-paru kronik.
"Saya dah menempah alat pernafasan baru untuk Mohd Aariz kerana yang sedia dipakainya itu sudah rosak.
"Alat pernafasan
Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang lama itu adalah hasil sumbangan
daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berharga RM7,800 sebuah dan
apabila ia rosak, kami terpaksa membelinya sendiri," katanya.
"Malah kami juga
bercadang untuk menyediakan bilik dengan kemudahan pendingin hawa untuknya
kerana selama ini dia tidak tahan panas," katanya.
Norhidayu berkata, dia agak tertekan apabila terbaca komen di laman sosial sehinggakan tidak berselera makan selama empat hari.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke rumahnya untuk memberi kaunseling kepadanya supaya tidak melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
Sementara itu, Pengerusi Qariah Masjid Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, beliau mewakili pihak jawatankuasa qariah masjid itu lega dengan usaha yang dilakukan oleh Mohd Azlan.
Kredit: Berita Harian
0 Comments