Tangkap layar video memaparkan keadaan mangsa yang terkorban dalam kejadian kemalangan motosikal di KM 157.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berdekatan Jawi, Pulau Pinang pada Jumaat. |
HASRAT seorang penunggang motosikal untuk mengembara ke Hatyai, Thailand dengan menaiki motosikal tidak kesampaian selepas dia terlibat dalam satu kemalangan maut di Kilometer (KM) 157.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berdekatan Jawi, Pulau Pinang pada Jumaat.
Lebih menyayat hati, mangsa turut mengalami kecederaan parah dengan kaki kanannya dipercayai terputus akibat kejadian tersebut yang berlaku sekitar pukul 7.48 pagi.
Video mengenai kejadian tersebut turut tular memaparkan keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa terbaring di bawah besi penghadang tepi lebuh raya berkenaan dan diselimuti kain putih.
Pada masa sama, kakinya yang terputus turut dilihat berada tidak jauh beberapa meter daripada badannya bersama sebuah beg sandang dipercayai milik mangsa.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan itu sedang dalam perjalanan untuk ke Hatyai.
Punca kemalangan terbabit bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sumber: Majoriti
0 Comments