Video rakaman CCTV tular, ketika suspek simbah asid kepada Faisal Halim

Video rakaman CCTV tular, ketika suspek simbah asid kepada Faisal Halim





Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan penularan rakaman litar tertutup (CCTV) simbahan asid pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim sekitar pusat beli belah di Damansara.


Menerusi video tersebut, memperlihatkan seorang lelaki bertopi sedang menunggu Faisal yang menuju ke arah keretanya sebelum bertindak menyimbah asid itu.


Sejurus selepas terkena asid tersebut, Faisal terus berlari menyelamatkan diri manakala seorang wanita dipercayai isterinya mengejar pelaku tersebut yang menaiki motosikal bersama rakan subahat.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengedarkan lakaran wajah suspek yang terlibat dengan kes simbah asid itu.




Menurut satu kenyataan rasmi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata anggaran umur suspek ialah 30 tahun dengan ketinggian 165 sentimeter.


Beliau memaklumkan suspek juga mempunyai susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu seperti lakaran diminta menghubungi pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D6), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M.Jagachandran di talian 012-6848166 / 03-2266 6071 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.


Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan Faisal Halim sebenarnya disimbah asid sulfurik pekat sehingga melecur ke tahap empat.


Asid sulfurik (sulphuric acid) pekat, H2SO4, ialah cecair yang tak berwarna tetapi sangat berbahaya kerana sangat mengkakis (corrosive) dan mengakibatkan kulit melepuh dan melecur. Kesannya sangat teruk jika terkena kulit.


Seorang pengguna laman sosial menjelaskan asid sulfurik ini mudah didapati di kedai hardware. Ia biasannya digunakan untuk mengatasi masalah paip tersumbat.


Ini adalah kejadian kedua yang melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki.


Kredit: Berita Harian, Vocket

Post a Comment

0 Comments