![]() |
Awal kesal
dengan tindakan yang dibuat oleh Wardina.
Pelakon dan pengacara Awal Ashaari menyelar tindakan
Wardina Safiyyah kerana memuat naik nama selebriti yang perlu diboikot susulan
didakwa mempromosikan produk pro Israel.
Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari,
42, berkata, Wardina seharusnya lebih memahami komitmen seorang selebriti
memandangkan dia juga pernah bergelar artis satu ketika dahulu.
"Sampai ke perhatian saya
tentang seorang yang tidak mengenali saya secara peribadi, menyebut nama saya,
isteri dan rakan artis yang tiada kaitan langsung dengan diri beliau.
Awal meluahkan rasa kesal di Instastory miliknya.
"Mencipta kebencian, cuba
memecah belahkan kami dan warganet dengan menggunakan paksi agama serta isu
Palestin yang ternyata berlarutan sejak dahulu.
"Apa motif beliau? Saya
terkilan kerana beliau sendiri pernah bergelar artis dan menjadi duta kepada
jenama-jenama 'Israhell' seperti yang ditegaskan beliau. Kenapa sekarang?"
soalnya menerusi hantaran di Instastory miliknya pada Selasa.
Awal bersuara selepas Wardina
dilihat lantang menyuarakan gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang
masih menjalinkan kerjasama dengan produk pro Israel.
Pelakon sitkom Spanar Jaya itu
turut meminta netizen menyenaraikan dan memuat naik semula nama mereka termasuk
Awal dan isterinya, Scha Alyahya di ruang highlight Instagram.
Dalam pada itu, Awal turut
menyindir Wardina yang sebelum ini pernah meminta orang ramai berhenti
menyebarkan kebencian terhadap individu yang tidak mempunyai kaitan dalam hidup
mereka.
Kata Awal, dia mengulang siar
hantaran tersebut kerana bimbang Wardina terlupa dia pernah memuat naik perkara
itu pada Januari tahun lalu.
![]() |
Awal turut tersenarai dalam nama selebriti yang mahu diboikot.
Sementara itu, Awal menegaskan
masih banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan kesedaran tentang situasi
yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.
Kata Awal, desakan memboikot hanya
akan memberi impak negatif kepada golongan artis yang rata-ratanya hanya
mencari rezeki untuk menyara keluarga.
"Ada cara lebih baik untuk
berdakwah atau mencipta gerakan tapi bukan dengan kebencian, memecah belahkan
rakyat Malaysia dan menabur pasir dalam periuk nasi kami sebagai anak seni.
"Rata-rata daripada kami
berusaha dalam mencari pendapatan bagi menyara banyak mulut di rumah. Kami ada
anak-anak yang tidak berdosa.
Awal mengulang siar hantaran yang pernah dibuat Wardina.
"Ada ibu bapa, mentua yang
perlu kami sara. Ada adik-beradik yang bergantung hidup dengan kami. Ada
pekerja yang berkeluarga yang perlu diberi gaji. Ada tanggungjawab kepada
negara yang perlu kami langsaikan," ujarnya.
Pelakon filem Syurga Cinta ini
bagaimanapun memuji rakan artis yang berjihad memberikan doa dan sokongan tanpa
menghakimi individu lain.
"Kita semua ada cara masing-masing dalam membantu dan mencipta kesedaran. Tak post, bukan bermaksud tak prihatin, tak derma bukan tidak bersimpati dan tidak membantu bukan bermaksud tidak berdoa," tegasnya.
Baca juga: Anak-anak Sidek keluarga istimewa dalam hati rakyat Malaysia
Baca juga: Istighfar panjang Didi Astillah lepas baca satu artikel fitnah dirinya berasmara dengan abang ipar
0 Comments