JOHOR BAHRU: Lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai
Polis Ulu Tiram, di sini, 17 Mei lalu, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah
Johor Bahru, jam 9 pagi ini.
Kelima-lima mereka itu dikawal ketat hampir 30 anggota
polis.
Mereka difahamkan akan menghadapi beberapa pertuduhan
termasuk Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, sekitar Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru
dilihat turut dikawal ketat puluhan anggota polis sejak jam 7 pagi tadi.
Pada 24 Mei lalu, semua lima ahli keluarga lelaki yang
menyerang Balai Polis Ulu Tiram, itu dilaporkan ditahan dan disiasat di bawah
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas tempoh
reman mereka berakhir pada hari yang sama.
Semua mereka terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak dan
adik kepada penyerang berusia 21 tahun akan ditahan di bawah SOSMA selama 28
hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan
berkata siasatan awal mendedahkan keluarga itu membawa fahaman radikal.
Pada 17 Mei lalu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga
suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut
dilaporkan ditahan reman selepas disyaki mempunyai kaitan terhadap serangan itu
pada hari yang sama, selepas serangan itu.
Bagaimanapun, dua penuntut IPT itu dibebaskan tanpa syarat
selepas siasatan selesai, bulan lalu.
Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi 17 Mei lalu,
dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan
Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek
berusia 21 tahun itu mati ditembak.
Tragedi itu turut mencederakan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, yang terkena tembakan pada bahu dan pinggul.
Kredit: Berita Harian
0 Comments