Petaling Jaya: Adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan
Abdul Matin yang dibunuh tahun lalu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Selangor.
Difahamkan JKM Selangor datang ke rumah keluarga ibu bapa
Zayn di Puncak Bestari sebelum kanak-kanak lelaki itu dibawa ke sebuah hospital
untuk pemeriksaan.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim ketika dihubungi malam ini, mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk JKM mengambil
kanak-kanak terbabit.
"Bagaimanapun kita bawa dia ke hospital untuk tujuan
pemeriksaan dahulu. Selesai laporan nanti baru kita tentukan macam mana
tindakan akan diambil," katanya.
Terdahulu ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di
Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian dengan kemungkinan boleh menyebabkan
kecederaan ke atas kanak-kanak itu, tahun lalu.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak
bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29
tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan
terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang
mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Damansara Damai di
sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.
Kredit: Harian Metro
0 Comments