Georgetown: Wanita maut dipercayai ditikam dengan gunting
oleh anaknya yang mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Relau, di sini,
hari ini.
Suspek juga dikatakan menghubungi abangnya kira-kira 5
petang, bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab
Hamid berkata, abang suspek kemudian menghubungi polis bagi tindakan lanjut.
Katanya, suspek yang juga anak bongsu berusia 40 tahun itu
kemudian diberkas di unit kediaman pangsapuri berkenaan.
"Siasatan awal mendapati anak sulung dan kedua
menghubungi mangsa sebelum kejadian namun panggilan itu tidak dijawab.
"Mereka kemudian dikejutkan dengan panggilan mengenai
kematian ibu akibat ditikam menggunakan gunting oleh suspek," katanya di
sini, hari ini.
Mengulas lanjut Razlam berkata, mangsa yang berusia 67 tahun
dikatakan hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari
seminggu bermula Jumaat.
Manakala baki hari yang lain, katanya, wanita warga emas itu
tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung dekat sini.
"Suspek juga pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua
ahli keluarganya ketika mereka tinggal bersama di Batu Maung.
"Selain itu suspek juga pernah dimasukkan ke wad
rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini, pada tahun lalu," katanya lagi.
Menurut Razlam, motif pembunuhan masih dalam siasatan
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan mayat mangsa dihantar ke
Hospital Pulau Pinang (HPP) proses bedah siasat.
Kredit: Harian Metro
0 Comments