Anak Dharma nafi lepas tangan bantu ayah cari wang






KUALA LUMPUR: Anak pelakon popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68, iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, menafikan lepas tangan dalam soal pembayaran sewa rumah keluarga sehingga diberi notis mengosongkan kediaman terbabit daripada pemiliknya.

 

Muhammad Al Syafiq mendakwa mahu menamatkan pengajian dalam jurusan Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) seperti disarankan pensyarah, sebelum mencari kerja tetap untuk menyara keluarga.

 

"Kalau diikutkan, saya memang hendak berhenti belajar dan cari kerja supaya dapat bayar sewa rumah dan bantu ayah. Tetapi pensyarah dan dekan fakulti minta saya teruskan pengajian yang berbaki dua bulan ini.

 

"Mereka cakap saya adalah pelajar cemerlang dan keputusan peperiksaan saya adalah antara yang terbaik dalam kalangan pelajar lain. Disebabkan itu, mereka suruh bertahan sampai Ogos ini.

 

"Mereka cakap saya pelajar harapan dekan, jadi, agak susah untuk saya terus berhenti belajar. Insya-Allah tamat sahaja pengajian saya akan terus dapatkan kerja tetap dan bantu keluarga," katanya.

 

Ditanya sama ada pihak fakulti sedar masalah kewangan keluarganya, Muhammad Al Syafiq memberitahu, Dekan Pusat Pengajian Asasi Kreatif ASWARA, Dr Erdina Nasseri memahami keadaan dan menjadi antara individu yang banyak membantu.

 

"Dekan tahu saya ada masalah kewangan. Beliau banyak membantu sampaikan saya jadi segan. Beliau tolong saya dapatkan bantuan daripada ASWARA.

 

"Secara peribadi, beliau banyak membantu saya. Setiap kali selepas habis kelas, beliau akan mesej tanya bagaimana keadaan saya dan keluarga.

 

"Disebabkan dekan adalah mentor saya, beliau paling tahu maslah saya. Walaupun beliau suruh sambung belajar, tetapi tetap ambil berat dan bantu saya. Beliau mahu jaga pelajar terbaik yang dia ada," katanya yang turut menjelaskan jurusan diambil tidak mempunyai had umur sebagai syarat kemasukan.

 

Semalam, dilaporkan, Dharma bersama dua anak, terpaksa akur arahan mengosongkan kediaman yang dikeluarkan pemiliknya akibat gagal melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500.

 

Dharma dilapor berkata, dia dan dua anak, iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq diberi tempoh hingga akhir bulan ini untuk melunaskan tunggakan jika mahu terus mendiami rumah sewa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu.

 

Rentetan itu, ada pihak mempersoalkan apa yang dilakukan kedua-dua anak bintang filem Adik Manja itu dalam membantu menyelesaikan masalah keluarga disebabkan masing-masing sudah menginjak usia 30-an.

 

Mengulas usaha diambil dalam mengurangkan beban keluarga, Muhammad Al Syafiq berkata, dia membuat kerja sambilan pada sebelah petang dan malam demi mencari pendapatan.

 

Muhammad Al Syafiq tidak mahu ambil peduli dengan kritikan kerana hanya diri sendiri tahu apa yang dilakukan untuk keluarga.

 

"Setiap petang hingga malam saya kerja sambilan di sebuah kafe di Setiawangsa. Kalau sebelum ini saya boleh kerja petang sampai malam, tapi sekarang ada projek akhir pengajian, jadi susah sikit hendak kerja.

 

"Kalau saya bekerja, boleh dapat dalam RM300 sebulan, jadi dengan wang itu saya gunakan untuk bayar apa patut termasuk bil eletrik dan air rumah.

 

"Saya tak kisah apa orang hendak cakap. Saya tahu apa yang saya buat dan Allah juga tahu apa saya buat. Saya tidak boleh puaskan hati semua orang," katanya.

 

Muhammad Al Syafiq berkata, kakaknya, Siti Qurratu yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Penulisan Dengan Kepujian (penulisan filem dan televisyen) adalah pelajar cemerlang. Dia juga tidak disarankan berhenti, malah, ketika ini, sibuk dengan tugasan pengajian.

 

Muhammad Al Syafiq berkata, setakat ini, masih belum ada organisasi kebajikan yang menghubungi untuk menghulurkan bantuan melainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).


Kredit: Berita Harian





Post a Comment

0 Comments