KUALA LUMPUR: Sejak akhir-akhir ini, topik mengenai gelagat
vokalis lelaki berbakat besar, Hafiz Suip, 34, hangat diperkatakan selepas satu
persatu insiden dicetuskan juara musim ketujuh program realiti Akademi Fantasia
(AF7) ini.
Bermula dengan tindakan menyahaktif akaun Instagram (IG),
bulan lalu, disusuli spekulasi rumah tangga bersama isteri, Nureffy Jesreel
Abdullah yang dikatakan goyah, tindak-tanduk penyanyi Awan Nano ini terus
menimbulkan tanda tanya.
Namun, dalam insiden terbaharu, dakwaan konon hubungan
dengan isteri berantakan dinafikan Hafiz yang bertindak membalas komen
dilayangkan seorang pengikut akaun TikTok.
Hafiz memberi reaksi sebaik pengikut berkongsi komen
berbunyi:
"Tengok nanti selepas cerai, Hafiz akan popular
lagi."
Komen itu dibalas Hafiz melalui jawapan ringkas:
"Jangan buat fitnah kak."
Gosip mengenai rumah tangga Hafiz dan Nureffy mula
diperkatakan apabila kelibat penyanyi berasal dari Sarawak itu tidak dilihat
dalam klip video sambutan hari jadi suri hatinya itu, baru-baru ini.
Mengajukan pertanyaan kepada 'orang kuat' syarikat rakaman
yang menaungi Hafiz, Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim, menolak andaian
tindakan penyanyi itu menyahaktif akaun IG sebagai gimik pelancaran single
baharu.
Mengaku berbincang dengan Hafiz mengenai projek single
baharu, Rosmin bagaimanapun tidak pasti apakah Hafiz masih berminat meneruskan
rancangan itu.
Semuanya gara-gara kenyataan Hafiz melalui siaran langsung
TikTok, baru-baru ini, mendakwa dirinya sudah tidak relevan dalam industri
muzik apabila ditanya peminat mengenai lagu baharu.
"Syarikat tidak dimaklumkan Hafiz atau pengurusnya
mengenai kenyataan yang dibuat itu. Apa yang pasti, syarikat rakaman atau Hafiz
tidak mungkin buat gimik semata-mata untuk mempromosikan single baharu.
"Mungkin ada sebab tertentu kenapa Hafiz mengeluarkan
kenyataan ini. Namun, saya berharap Hafiz tidak serius kerana industri muzik
bakal hilang sebutir permata jika Hafiz tidak mahu menyanyi lagi,"
katanya.
Pengurus Hafiz dikenali sebagai Lip mendakwa tidak berhubung
dengan penyanyi itu kerana enggan mengganggunya.
"Hafiz sedang bercuti di kampung. Dia banyak habiskan
waktu dengan memancing. Biasanya, jika dia memancing, dia tidak mahu
diganggu," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments