KUALA LUMPUR: "Buat kali terakhir, saya ingin ucap
tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid
ini dan anak-anak saya hilang bapa mereka."
Itu luahan Bella Astillah, 30, ditujukan kepada Ruhainies
yang sebelum ini ditangkap khalwat dengan Aliff Aziz di sebuah kondominium
mewah di sini, pada 9 Mac lalu, hingga membawa kepada kontroversi dan keretakan
hubungan Bella dan bekas suaminya itu.
Luahan itu dikongsi Bella atau nama sebenar, Dayang Ara
Nabellah Awang Astillah melalui hantaran Instagram (IG) selepas sah diceraikan
talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Bella berkata, perceraian kali kedua bersama Aliff banyak
memberi pengajaran kepada dirinya agar tidak mencintai seseorang terlalu dalam.
"Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai
seseorang terlalu dalam. Jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam.
"Berakhirlah kisah kami. Saya selalu percaya bahawa
peluang mampu mengubah seseorang tetapi hanya jika digunakan dengan baik.
"Kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah suatu
kesilapan akan tetapi, pilihan.
"Saya selalu impikan rumah tangga yang kekal tetapi
apabila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya beri, namun, pada
akhirnya, saya tidak mampu melawan takdir," katanya.
Tambah Bella dalam hantaran yang sama, perceraian yang
berlaku hari ini membuktikan tiada lagi peluang untuk dirinya kembali kepada
bekas suaminya itu.
"Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini. Tetapi
perjuangan ini sia sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.
"Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak
dipermudahkan. Saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik
untuk mereka.
"Tiada penyesalan, saya terima ini adalah ujian dan
pengalaman hidup. Terima kash buat keluarga, sahabat, rakan rakan industri,
media dan semua pengikut yang mendoakan kami semua.
"Semoga segala doa yang baik baik berbalik kepada anda
semua," katanya.
Tengah hari tadi, Aliff melafazkan talak di Mahkamah Rendah
Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan
Hamat kira-kira jam 1.10 petang dan mengesahkan lafaz tersebut adalah sah
mengikut hukum syarak.
Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019,
namun, rujuk kemudian.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September
2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad
Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Tinjaun diruang komen, ramai selebriti telah meninggalkan kata-kata semangat buat Bella termasuk Fazura, Fasha Sandha, Mira Filzah dan ramai lagi.
0 Comments