Bersin sampai terkeluar usus

Washington: Malang buat seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) apabila ususnya terkeluar selepas dia bersin terlalu kuat.

 

Kejadian berlaku ketika lelaki berusia 63 tahun itu sedang bersarapan dengan isterinya di sebuah restoran di Florida.

 

Dia yang sebelum ini pernah menjalani pembedahan di bahagian abdomen berasa 'basah' di bahagian perut selepas bersin, disusuli sakit yang menyucuk.

 

Apabila mengangkat bajunya, lelaki itu terkejut melihat beberapa inci ususnya terkeluar pada luka pembedahan.

 

Dalam pembedahan lalu yang sebahagian daripada rawatan kanser prostat dihadapinya, doktor memaklumkan luka berkenaan sembuh dengan baik.

 

Susulan kejadian, ambulans dipanggil dengan paramedik yang membuat pemeriksaan awal mendapati terdapat bukaan tiga inci dengan sejumlah besar usus terkeluar, tetapi mangsa tidak kehilangan banyak darah mahupun mengalami kerosakan organ.

 

Pakar berjaya memasukkan semula usus berkenaan ke bahagian sepatutnya dan lelaki itu dibenar pulang ke rumah dan pulih tanpa komplikasi selepas enam hari dirawat di hospital.

 

Untuk memastikan luka tidak terbuka semula, pakar bedah melakukan jahitan angka lapan, satu daripada jahitan penutup yang kuat dan terkini, serta jahitan dalaman dan luaran, jahitan yang menembusi beberapa lapisan dinding perut.

 

Kes itu turut disenaraikan dalam Laporan Kes Jurnal Perubatan Amerika dengan dikenali Dehiscence.

 

Ia satu keadaan apabila luka pembedahan terbuka semula yang dianggap berlaku kepada tiga daripada 100 orang yang menjalani pembedahan abdomen dan pelvis, terutama kepada pesakit lebih berusia.

 

Bagi empat daripada 10 pesakit, ia boleh membawa maut kerana kehilangan darah berlebihan dan kecederaan pada organ yang terdedah.

 

Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments