Mangsa Wan Muhammad Harith Syauqi Wan Hazizi disahkan
meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah
(HoSHAS) Temerloh jam 10.35 pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa
dikatakan sedang mengutip dahan kering bersama bapanya, Wan Hazizi Wan Kemboja,
50, di belakang rumah mereka.
Ibu mangsa, Saliah Mohd Noor, 39, berkata, ketika kejadian
dia dan ahli keluarganya yang lain turut berada di luar rumah.
"Sebenarnya saya dan suami tinggal menyewa di Felda
Jengka 3 dan pulang ke rumah mentua petang semalam (Sabtu).
"Sebelum kejadian, terdengar bunyi 'prak' tiga kali
sebelum pokok kelapa tua tumbang menghempap anak. Memang ia berlaku depan mata,
tapi saya tak sempat buat apa-apa," katanya ketika ditemui, hari ini.
Saliah berkata, selepas kejadian anak bongsu daripada tiga
beradik itu tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di bahagian telinga dan
hidung.
"Kami menghantar anak ke HoSHAS untuk menerima rawatan
sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
"Saya anggap ini ujian, takdir yang tertulis buat kami
dan reda walaupun kehilangan anak bongsu," katanya.
Jenazah Wan Muhammad Harith Syauqi selamat dikebumikan di
Tanah Perkuburan Felda Jengka 6 kira-kira jam 3.30 petang hari ini.
Kredit: Astro Awani
0 Comments