Johor Bahru: Pada zahirnya, pemuda yang dikenali sebagai
Ariff ini nampak normal tetapi hakikatnya dia mengalami masalah keguguran
rambut yang serius.
Disebabkan belum mampu menjalani rawatan, Ariff, 25,
menggunakan rambut palsu sebagai alternatif untuk menyembunyikan kekurangan
diri.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, rambut palsu
menjadi pilihannya pada sejak pertengahan 2021 dan digunakan selepas mengalami
masalah keguguran teruk pada akhir 2020.
"Saya bukan pakai rambut palsu saja-saja atau nak
bergaya tetapi dengan niat menutup kelemahan yang ada.
"Pada awalnya fikir dua tiga kali juga, sama ada nak
pakai atau tidak...saya fikir macam mana kalau orang perasan.
"Akhirnya saya teruskan juga kerana fikir mengapa tidak
cuba untuk rasai sendiri pengalamannya," katanya.
Ariff yang bekerja sebagai pereka grafik dan ilustrator di
sebuah syarikat berkata, dia menggunakan rambut palsu setiap hari terutama
ketika ke pejabat atau jika ada urusan di luar rumah.
Menurutnya, sejak menggunakan rambut palsu, keyakinannya
bertambah untuk tampil di khalayak ramai.
"Mulanya berasa tidak selesa juga kerana seperti ada
sesuatu di atas kepala tapi sekejap saja kerana dapat sesuaikan diri dalam
tempoh dua hari.
"Saya gunakan rambut palsu yang diperbuat daripada
rambut sebenar dan memang selesa dipakai.
"Setakat ini saya ada dua koleksi rambut palsu, yang
pertama tutup bahagian atas saja dan kedua jenis penuh.
"Sebelum ini, kalau nak keluar saya kena pakai topi
atau dandan rambut tapi kini tak lagi kerana adanya rambut palsu,"
katanya.
Menurut Ariff, tiada siapa tahu dia menggunakan rambut palsu
pada peringkat awal.
"Dalam tempoh enam bulan pertama, tak ada siapa tegur
kerana tak perasan mungkin sebab sebelum itu pun saya sudah terbiasa dandan
rambut.
"Tapi lama-kelamaan, saya beritahu keluarga dan mereka
tak kisah sebab tahu saya ada masalah keguguran rambut yang teruk,"
katanya.
Ditanya sama ada pernah menjalani sebarang rawatan, Ariff
akui sudah membuat pemeriksaan termasuk bertanya kos perlu ditanggungnya.
"Saya ada pergi satu klinik khusus untuk rambut dan
dimaklumkan keguguran dialami saya berpunca daripada masalah genetik.
"Bila ditanya kos rawatan, saya dimaklumkan ia menelan
ratusan ribu dan saya pula baru bekerja jadi memang tak mampu walaupun teringin
nak buat.
"Tapi saya ada kumpul duit juga dengan harapan dapat
jalani rawatan supaya rambut kembali elok sebelum usia 30 tahun.
"Ia kerana apabila rambut kembali sihat, saya tak perlu
lagi nak pakai rambut palsu," katanya.
0 Comments