KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat
kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di
media sosial, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk
Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penyebaran maklumat yang tidak dapat
dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak
bertanggungjawab.
Berikutan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi
menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu
perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.
"Saya ingin katakan sekali lagi segala perkara yang
membabitkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.
"Ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh
sesiapa sahaja yang kita kesan (pelaku) kemudian kerana dia boleh mengganggu
perjalanan perbicaraan.
"Ia memang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan yang
akhirnya kita tidak akan mendapat keadilan kepada arwah adik Zayn Rayyan itu
sendiri," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ
Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah (KPP)
Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman,
Senior Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak.
Tambah Mohd Shuhaily, penyebaran maklumat tidak
bertanggungjawab sebegitu bukan sahaja boleh menjejaskan perbicaraan, malah
memberi kesan kepada pihak pendakwaan, peguam bela serta keluarga Zayn Rayyan
sendiri.
"Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi untuk kenal
pasti pihak yang menyebarkan maklumat berkenaan.
"Saya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak itu
kerana segala penat jerih rakan-rakan (pasukan siasatan) yang lain dalam
menyiasat (kes Zayn Rayyan) boleh tergugat dengan perkara yang berlaku
ini," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan
pihak MCMC untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan termasuk menurunkan
kandungan berkenaan yang dikesan dimuat naik di satu akaun di Telegram.
Mengulas mengenai adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada
di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Shuhaily berpendapat
tindakan JKM itu adalah berasaskan tanggungjawab moral dan undang-undang
(morale and legal responsibility) pihak jabatan itu untuk berbuat demikian.
"Ia mungkin susulan JKM melihat adalah perlu bagi
pihaknya mengambil anak kedua pasangan berkenaan susulan mereka telah dituduh
mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menegaskan bahawa siasatan
membabitkan kes Zayn Rayyan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah selesai
namun tidak menolak meneruskan siasatan mengikut seksyen itu sekiranya ada
keperluan untuk perbicaraan.
"Seperti saya katakan semalam, siasatan mengikut
Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah tamat dengan pendakwaan semalam mengikut
Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
"Namun perkembangan dalam perbicaraan tersebut
sekiranya ada pendedahan-pendedahan (bukti) yang membawa kepada Seksyen 302
Kanun Keseksaan, pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) boleh mengarahkan kami dan
kami sendiri akan menyiasat semula (mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
kenyataan Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu, bahawa
siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan sehingga pelaku
sebenar ditemui.
Semalam Fahmi dalam sidang medianya di perkarangan Kompleks
Mahkamah Petaling Jaya dilaporkan berkata polis masih menjalankan siasatan di
bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mencari siapa pelaku sebenar.
Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan
Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan
kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1
Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55
malam, 6 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta
Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca
bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum
RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Kredit: Berita Harian
0 Comments