JOHOR BAHRU: "Bukan semua individu memiliki susuk badan
normal dan saya fikir sekiranya semua orang tidak mahu membuat majlisnya siapa
lagi yang akan buat," kata perancang perkahwinan, Haffsyah Jamalong, 43.
Haffsyah berkata, dia pernah mengurus kira-kira 3,000 majlis
perkahwinan sebelum ini, namun bersyukur kerana menimba pengalaman yang cukup
berharga apabila berpeluang untuk mengurus majlis perkahwinan pengantin
perempuan yang memiliki berat lebih 200 kilogram.
Pemilik butik andaman Flora Bridal House di Bandar Baru Uda
itu yang mesra dengan panggilan Kak Ila berkata, dia antara 50 perancang
perkahwinan yang menyertai pameran pengantin di Plaza Angsana pada September
tahun lalu terserempak dengan seorang wanita yang memiliki tubuh besar di tepi
gerai pameran.
Menurutnya, apabila disapa, wanita itu menyatakan dia masih
gagal menempah perkhidmatan perancang perkahwinan walaupun sudah berkunjung ke
pameran itu berulang-kali dan berasa agak rendah diri dengan keadaan fizikalnya
itu.
Katanya, walaupun menyedari keperluan wanita itu adalah
berbeza berbanding pengantin yang memiliki susuk badan normal, dia sanggup
memikul cabaran berkenaan kerana tidak sanggup menghampakan impian bakal
pengantin itu.
"Pengantin berkenaan adalah Nur Aqilah Erman dan
Muhammad Afiq Jusoh.
"Selepas menerima tempahan, cabaran utama saya adalah
dalam soal menyediakan pakaian kerana dia sudah mencuba lebih 300 pakaian di
butik saya, namun kesemuanya tidak sesuai dan kecil hingga dia mula gelisah.
"Oleh itu, selepas berbincang dengan keluarga dan
pasangannya, kami mengambil keputusan untuk reka busana tradisional baharu
baginya iaitu baju kurung songket Johor dan baju Melayu bagi pasangannya serta
corak kedua-dua pakaian itu bercirikan Jawa.
"Selalunya kami menggunakan enam meter kain bagi
pengantin wanita, namun kali ini mencecah 13 meter dan kami mendapati dia lebih
sesuai memakai baju kurung berbanding gaun mahupun baju kebaya," katanya.
Haffsyah berkata, dia juga menanggung kos bagi menjahit baju
yang mencecah RM2,000 dengan syarat ia dipulangkan semula ke butik andamannya.
Menurutnya, dia yakin ia sekurang-kurangnya dapat
meringankan beban pengantin perempuan itu yang kehilangan ibu dalam tempoh
beberapa bulan sebelum perkahwinan.
Katanya, dia juga bersyukur kerana mendapat kepercayaan
pasangan pengantin bagi menawarkan khidmat katering bagi 500 jemputan.
"Saya juga mengurus solekannya di majlis pernikahan,
namun baju kurung rona putih dipakainya dihadiahkan oleh kakak Nur Aqilah.
"Majlis persandingan di Dewan Raya di Jalan Undan,
Taman Perling pada hari sama iaitu 18 Mei lalu, pengantin perempuan memakai
busana kami sediakan serta solekan.
"Menyedari fizikalnya, kami juga menasihatinya supaya
tidak meletakkan platform di kerusi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini
yang boleh mengaibkan pengantin," katanya yang turut menaja kad
perkahwinan, kek, lukisan inai dan gubahan hantaran percuma untuk hari
bersejarah pengantin itu.
"Saya selesa dengan sikap kedua-dua mempelai yang tidak
banyak kerenah.
"Mempelai juga menangis gembira kerana tidak sangka ada
perancang perkahwinan sanggup menawarkan perkhidmatan," katanya.
Aqilah kiri bersama Haffsyah (perancang perkahwinan)
Paparan kisah berkaitan pengalaman perancang perkahwinan
mengurus majlis pasangan itu menerusi Facebook semalam menerima lebih 17,000
reaksi daripada netizen.
Kredit: Berita Harian
0 Comments