PENDAKWAH bebas Datuk Mohammad Kazim Elias memganggap
isu merehatkan seketika penglibatan Ustaz Don Daniyal dalam sebuah program
televisyen adalah satu kerugian besar.
Kazim, 52, menjelaskan anak
didiknya itu seorang yang cukup baik dalam menyampaikan dakwah selain sering
menjadi tumpuan masyarakat yang tertarik dengan kuliah disampaikan.
Pendakwah itu juga melihat ada
keperluan untuk pihak terlibat termasuk Don sendiri menjelaskan situasi sebenar
berhubung isu dibangkitkan.
"Cara penyampaian Ustaz Don
sangat mudah dan berjaya menarik minat ramai. Jadi bagi saya satu kerugian
kalau dia tidak boleh lagi berdakwah di media utama.
"Mungkin ada pencerahan yang
perlu dibuat. Saya juga pernah melalui situasi sama tetapi pegangan saya hanya
buat terbaik... Insya-Allah pihak TV dan radio akan panggil semula,"
katanya.
Kazim mengulas perkara itu ketika
ditemui pada tayangan perdana filem Zim Zim Ala Kazim yang diadakan pada malam
Jumaat.
Berkongsi lanjut mengenai kontroversi melanda Don, Kazim memaklumkan pendakwah itu sudah pun dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menjelaskan situasi sebenar.
Susulan itu, Kazim meminta orang
ramai tidak sewenang-wenangnya menghentam Don sebaliknya memberi teguran dan
nasihat membina kepadanya.
"Dalam hal ini kita kena
berlapang dada. Masyarakat juga janganlah terus menghentam dia seolah-olah
langsung tiada kebaikan dilakukan.
Saya faham dia seorang
yang terbuka dan tidak akan lawan semula.
"Jika dia ada buat kesalahan
nasihatlah secara baik. Dia perlu melalui proses ini kerana ia adalah asam
garam dalam dunia dakwah," ujarnya.
Tambah Kazim, dia sendiri tidak
mahu memberi tekanan kepada anak didiknya itu walaupun Don ada menghubunginya
sebelum ini.
"Tak perlu saya beri nasihat.
Saya faham dia seorang yang terbuka dan tidak akan lawan semula. Saya tidak
mahu beri dia tekanan walaupun dia ada hubungi saya," jelasnya.
Nama Don atau Don Daniyal Don
Biyajid, 40, hangat diperkatakan selepas dia berkongsi kisah percintaan pertama
Nabi Muhammad SAW yang didakwa bersandarkan hadis palsu.
Susulan kekecohan itu, Ketua
Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman merehatkan Don
daripada mengendalikan program Salam Baitullah.
Jelas Suhaimi tindakan itu dibuat bagi mengelakkan perbalahan berpanjangan dalam kalangan netizen berhubung isu itu.
Kredit: MStar
0 Comments