Petaling
Jaya: Risikan selama enam bulan sejak hari pertama kejadian kanak-kanak
autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibunuh yang menjuruskan perlakuan itu
dilakukan ibu bapanya menjadikan misteri kematiannya kian terungkai.
Menurut
sumber, polis tidak pernah berputus asa menyelesaikan kes ini sebaik keputusan
bedah siasat pada 7 Disember lalu menunjukkan Zayn Rayyan maut dibunuh.
"Sejak
itu pasukan forensik turun ke lokasi kejadian termasuk membuat pemeriksaan di
blok kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi mencari petunjuk termasuk
kediaman keluarga Zayn Rayyan.
"Hasil
dapatan dan risikan selama enam bulan itu menyimpulkan pembabitan ibu bapanya
dalam pembunuhan ini dan sebab itu mereka ditahan semalam (kelmarin) untuk
membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber
berkata, siasatan juga menjurus kepada keluarganya sendiri berikutan ketika
kejadian mangsa bersama ibunya dan dijemput dari tadika pun oleh wanita
terbabit.
Dalam konteks
ini, orang terakhir bersama mangsa adalah ibunya sendiri.
"Polis
mendapat reman seminggu dan hasil dapatan siasatan akan digunakan bagi
mendapatkan pengakuan mereka berdua," katanya.
Susulan itu,
polis menyiasat motif sebenar pembunuhan Zayn Rayyan selepas penahanan mereka.
Ketua Polis
Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit
direman seminggu bermula kelmarin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan
lanjut.
Menurutnya,
motif pembunuhan juga setakat ini masih dalam siasatan.
"Mereka
berdua (ibu bapa) direman seminggu bermula hari ini (semalam) dan siasatan
lanjut sedang dijalankan.
"Penangkapan
mereka berpandukan hasil risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang,"
katanya.
Beliau
berkata, maklumat lanjut belum dapat didedahkan buat masa ini.
"Ibu
bapa terbabit ditahan jam 10.05 pagi semalam (kelmarin) oleh Jabatan Siasatan
Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
"Mereka
direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"
katanya.
Terdahulu, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul
Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, pada
Disember tahun lalu, ditahan polis Khamis lalu.
Pada 7
Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran
kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Kredit: HarianMetro
0 Comments