"Jumpa barang-barang pelik di rumah. Baru-baru ini pun ada juga saya juga. Di rumah, saya jumpa tiga atau empat hari lepas, batang pinang, limau dan wang syiling yang dibakar. Benda ini dah beberapa kali dah berlaku sejak kami berkahwin.
"Sebelum ini, saya dan Aeril pernah juga 'keluar' syiling dari badan dan sebagainya. Jadi, harapnya, benda ini tidaklah berlanjutan. Kami amalkan amalan-amalan (mengikut agama) sahajalah."
Demikian ujar pelakon, penerbit dan usahawan, Wawa Zainal yang berkongsi mengenai pengalaman berdepan perkara mistik apabila menemukan beberapa objek aneh di rumahnya.
Jelas Wawa, perkara itu berlaku beberapa kali sejak dia dan suami yang juga pelakon, Aeril Zafrel berumah tangga, selain turut memberitahu, kejadian yang berlaku itu juga sedikit sebanyak membuatkannya trauma dan pernah terfikir untuk tidak terlalu menonjol.
"Takut sebenarnya sebab hati orang, kita tak boleh nak baca. Kadang, nak kongsi pun saya takut. Kalau boleh saya nak di belakang tabir sahaja sekarang sebab dah trauma dah.
"Tapi, sebab perniagaan saya, saya tak boleh berada di belakang. Bila berubat, tak nak tahu siapa yang 'buat' sebab nanti takut timbul rasa tak seronok pula kan," katanya.
Dalam pada itu, Wawa meluahkan rasa syukur kerana apa yang berlaku tidak meninggalkan kesan ketara kepada anak-anaknya.
"Anak-anak, sebelum ini ada yang menangis dan sebagainya. Tapi, sekarang dah tak ada dah. Semoga kami dilindungi daripada benda-benda itu. Saya pun takut nak cakap.
"Orang yang buat ini tak takut. Kita kalau nak buat orang, mesti kita akan terfikir balasan di akhirat dan kifarah di dunia. Tapi, itulah. Manusia lain-lain hatinya. Jadi, kita tak boleh menilai," tuturnya.
0 Comments