Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan berpandukan risikan polis


SHAH ALAM - Penahanan ibu bapa Zayn Rayyan pada Jumaat susulan risikan yang dijalankan pihak polis.

 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan kedua-dua suspek itu dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

"Sebab tangkapan dijalankan adalah berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang.

 

"Tangkapan ini dijalankan untuk bantu siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

 

Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di sekitar kawasan Puncak Alam kira-kira jam 11 pagi, Jumaat sebelum direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Sabtu.

 

Majistret, Azura Mohd Saad mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.

 

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

 

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

 

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

 

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.


Kredit: Sinar

Post a Comment

0 Comments