Petaling Jaya: Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn
Rayyan Abdul Matiin berada dalam keadaan tertekan dan berulang kali menegaskan
pembunuh sebenar masih berada di luar.
Perkara itu diberitahu peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan
Abdul Matiin, Ilyani Khuszairy ketika permohonan sambung reman di hadapan
Majistret Ainaa Muhamad Kamal.
"Kedua-dua pihak (ibu bapa Zayn) berada dalam keadaan
yang sangat-sangat tertekan, dapat tengok muka dia, menangis ketika
bertanya-tanya soalan dan sering mengatakan bahawa pembunuh sebenarnya ada di
luar.
"Mereka dalam tekanan dan berharap supaya kes ini dapat
diselesaikan secara baik dan siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil,
keadilan terhadap arwah anak mereka dapat dicapai," katanya ketika ditemui
pada sidang media di pekarangan mahkamah di sini, hari ini.
Ilyani berkata, surat juga sudah dihantar kepada Polis
Diraja Malaysia (PDRM) untuk berjumpa ibu bapa Zayn Rayyan namun berharap dapat
jawapan.
"Mak Zayn Rayyan sihat, cuma sama juga sangat tertekan
dan sedih, cakap pun tak banyak, mungkin masih lagi dalam keadaan terkejut dan
tertekan semasa berada dalam tujuh hari reman," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili mereka,
Fahmi Abd Moin berkata, kedua-dua anak guamnya tetap memberikan kerjasama
kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes itu dan mencari keadilan untuk anak
mereka.
"Buat masa ini tiada lagi permohonan untuk pemeriksaan
psikologi, pihak kami juga memohon kepada pihak mahkamah tadi untuk berjumpa
dengan anak guam ketika dalam reman enam hari," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan
permohonan sambung reman selama enam hari terhadap ibu bapa kepada Zayn Rayyan
bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.
Fahmi mengesahkan perintah reman baharu dikeluarkan Ainaa
dan akan tamat pada Rabu depan (12 Jun).
"Perintah reman dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun
Tatacara Jenayah manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan," katanya.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan
dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen
Idaman Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Kredit: Harian Metro
0 Comments