Jerantut: Kegusaran Norazlina Ismail mengenai siapa yang
akan menjaga anaknya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) sekiranya dia
sudah tiada akhirnya terjawab, semalam.
Takdir Ilahi menetapkan Norazlina, 44, meninggal dunia
bersama anak syurganya, Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, dalam kemalangan
membabitkan dua kenderaan di KM 18, Jalan Jerantut-Maran, berdekatan Sungai
Salan, di sini.
Turut maut selain dua beranak itu adalah pemandu sebuah lagi
kenderaan, Suhaimi Abd Rahman, 42.
Suami Norazlina, Syaifol Bahari Idris, 50, berkata,
isterinya bertanyakan soalan hal penjagaan anak mereka, dua hari lalu ketika
mereka berbual sebelum tidur.
"Isteri risau kalau saya dan dia meninggal dan siapa
yang mahu menjaga anak kami, seorang OKU.
"Saya jawab kepadanya, 'kalau kita tiada ada orang yang
hidup akan menjaga anak kita. kalau saya mati, awak (isteri) akan menjaga,
begitulah selalunya yang berlaku'.
"Apabila diingatkan balik, pelik apabila ditanya
begitu. Rupanya dia (isteri) dijemput Ilahi dan bersama anak sekali,"
katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut (HJ).
Syaifol Bahari yang juga pemandu ambulans di HJ berkata,
walau berhadapan kehilangan dua orang tersayang serentak, dia tetap reda dengan
ketentuan Allah.
"Nur Harina anak tunggal kami, saya reda dengan
kejadian ini. Jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di sebelah pusara ibu
mentua yang meninggal enam bulan lepas di Felda Jengka 16," katanya.
Syaifol Bahari yang cedera dalam kemalangan kira-kira 6
petang itu memaklumkan mereka tiga beranak dalam perjalanan pulang selepas
menziarahi orang meninggal dunia di Felda Jengka 13 dan singgah di rumah
keluarga di Felda Jengka 16.
Sementara itu, bapa mentua Suhaimi, Ahmad Hamizi Omar, 60,
berkata, menantunya bekerja sebagai pemandu jengkaut di Tembeling dan akan
pulang ke rumah pada setiap hujung minggu untuk bersama keluarga.
"Saya mengetahui kejadian pada 8.30 malam. Anak saya
(isteri Suhaimi) maklumkan yang suaminya ada menelefon sebelum bertolak pulang
dari Tembeling.
"Arwah juga beritahu akan singgah melawat ibunya di
Felda Gelanggi Dua dahulu sebelum pulang ke Lepar Utara 4," katanya.
0 Comments