Jay Jay alami angin ahmar selepas buat pembedahan pintasan jantung

Jay Jay alami angin ahmar selepas buat pembedahan pintasan jantung

 

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Jay Jay, 66, mengalami angin ahmar selepas pembedahan pintasan jantung, baru-baru ini dan akan menjalani rawatan fisioterapi minggu depan.


Isterinya, Zaitoon berkata, selepas sedar dari pembedahan, Jay Jay tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa.


"Alhamdulillah, pembedahan pintasan jantung selama empat jam itu lancar dan berjaya. Suami juga sudah sedar selepas sembilan jam kemudian.


"Dia sihat, cuma tangan dan kaki kanannya tidak dapat bergerak seperti biasa. Namun, dia dapat rasa apabila kita genggam dan memicit kaki dan tangannya itu.


"Menurut doktor, selepas buat pemeriksaan melalui CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) didapati kepalanya ada sesuatu yang mengganggu saraf di dalam fungsi otak. Namun, itu hanya bersifat sementara dan tidak serius," katanya kepada Harian Metro.


Ditanya mengenai keadaan Jay Jay ketika ini, Zaitoon berkata, suaminya akan menjalani rawatan fisioterapi selama dua minggu dan ia juga bergantung kepada keadaannya nanti.


"Dia juga sudah dua minggu dipindahkan dari ICU (unit rawatan rapi) ke wad biasa dan doktor juga beri ubat untuk cairkan darah supaya berjalan lancar.


"Doktor beritahu suami juga sudah boleh keluar wad pada bila-bila masa sementara menunggu kekosongan di pusat rawatan fisioterapi berkenaan.

"Buat masa ini, dia tidak boleh berjalan dan berdiri seperti biasa dan perlu menggunakan kerusi roda," katanya.


Zaitoon berkata, Jay Jay juga sudah boleh menerima pelawat ketika ini.


Antara yang melawatnya ialah Datuk M Nasir, S Amin Shahab, Datuk DJ Dave, Datuk Freddie Fernandez, Rozita Rohaizad dan ramai lagi.


Zaitoon turut mengucapkan terima kasih kepada semua pelawat termasuk Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Farhan Fauzi yang melawat dan memberi sumbangan, baru-baru ini.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments