MEKAH: Berkat menabung sejak umur 15 tahun, akhirnya seorang warga emas berusia 90 tahun berjaya menjejakkan kaki di Tanah Suci untuk menunaikan haji sekali gus menjadi jemaah tertua dari Malaysia tahun ini.
Biarpun terpaksa mengambil masa 75 tahun, Zakaria Hamat, 90, dari Kampung Bilok, Banggu, Kota Bahru, Kelantan tetap bersyukur apabila dijemput menjadi 'duyufurrahman' (tetamu Allah) dalam usia senja.
Zakaria yang ditemani cucu sulung Mohd Syafiq Mohd Sekari,
37, berkata kepayahan hidup dengan pendapatan tidak seberapa dan hanya
bergantung kepada upah membanting padi menyebabkan beliau mengambil masa yang
lama menabung sehingga simpanan cukup untuk menunaikan haji.
"Zaman dulu pergi merata-rata cari duit, sampai ke
Kedah, sampai lima enam kali pergi ke sana untuk memukul (membanting) padi,
tapi upah tak banyak, kadangkala dapat juga beras zakat sehingga lima enam guni
dan hasilnya bolehlah buat simpan sikit-sikit," katanya dalam dialek
Kelantan kepada petugas media ketika ditemui di hotel penginapannya di sini
baru-baru ini.
Walaupun hasil simpanan tidak seberapa, warga emas yang
turut dikenali sebagai Poksu Ya itu memberanikan diri untuk mendaftar haji pada
2003.
Ditanya petuanya kekal sihat, beliau yang mempunyai isteri
Ramlah Deris, 85, (tidak ikut haji) dan dua anak (namun telah meninggal dunia)
serta 11 orang cucu itu berkongsi amalan membaca surah At-Taubah ayat 128-129
serta selawat tafrijiyah setiap kali selepas solat Maghrib dan Isyak.
Sementara itu Mohd Syafiq berkata datuknya atau dipanggil
Chik, mendaftar haji pada 2003 menggunakan nombor telefon miliknya memandangkan
beliau merupakan waris terdekat.
"TH ada menghubungi saya tiga tahun lepas memaklumkan
tentang tawaran kepada Chik untuk mengerjakan ibadah haji..namun saya tolak
sebab kekangan dari segi kewangan keluarga, jadi saya tidak sedia.
"Pada 2023, sekali lagi Allah takdirkan Chik saya dapat
tawaran haji dan kali itu saya terpaksa tolak juga disebabkan beberapa masalah.
Akhirnya tahun ini apabila Allah sekali lagi menjemput Chik, saya sebagai cucu
sulung kena usaha walau macam mana sekalipun untuk memastikannya dapat
menunaikan haji," katanya.
Hasil usaha dan pertolongan daripada ahli keluarga yang lain
akhirnya beliau berjaya mencukupkan wang bagi membolehkan mereka bersama-sama
menunaikan ibadah itu.
Kredit: BERNAMA
0 Comments