PELAKON Elisya Sandha tidak dapat menahan air mata
ketika bercakap mengenai pengorbanan kakaknya yang juga aktres Fasha Sandha.
Elisya atau Nur Elisya Sandha
Hassan, 25, berkata, mereka bukan berasal daripada keluarga berada namun Fasha
paling banyak berkorban dalam memastikan semua keperluan dan kehendak mereka
adik-beradik dipenuhi.
"Daripada saya kecil
sampailah besar, Fasha sentiasa ada untuk saya dan kakak akan pastikan saya
gembira.
"Saya sangat sayangkan kakak
saya... Walaupun kadang-kadang ada bergaduh tapi setiap kali tiba hari jadi
saya, dia akan pastikan ia menjadi hari paling gembira.
"Kakak paling banyak menyumbang dalam keluarga kami dan sekarang saya dapat sama-sama membantu apabila sudah ada karier sendiri," katanya.
Elisya berkongsi perkara itu
ketika ditemui pada sambutan ulang tahun kelahirannya ke-25 yang diadakan pada
petang Sabtu.
Imbau Elisya, hadiah sebuah
basikal untuk hari jadinya yang ke-5 paling diingati kerana ketika itu Fasha
berusaha membelinya walaupun keluarganya tidak mampu ketika itu.
Malah setiap nota permintaan yang
diberikan kepada kakaknya masih disimpan dengan baik oleh Fasha sehingga ke
hari ini.
"Masa saya berusia lima
tahun, saya ada tulis nota mahu sebuah basikal untuk hari jadi dan selitkan
nota itu di bawah pintu biliknya.
"Walaupun keluarga tidak
mampu ketika itu tetapi Fasha tetap berkorban dan berusaha membeli basikal itu
demi membuatkan saya gembira.
"Apabila mengenangkan perkara
itu saya jadi sebak sebab saya sangat menghargai kakak saya.
"Sampai sekarang dia masih simpan semua nota saya tulis dan ditampal dekat cermin," kongsinya.
Kredit: MStar
0 Comments