PASIR GUDANG: Ibu kepada murid prasekolah yang maut
dilanggar van sekolah di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini pada Rabu berasa
masih terngiang-ngiang di telinganya panggilan arwah anaknya itu setiap kali
pulang dari sekolah.
Menurut ibu mangsa, Karmin Kahil, 39, sudah menjadi rutin
bagi Nurhafizah Nuljin, 5, dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6,
memanggilnya selepas turun dari van sekolah dan ketika menghampiri pagar rumah
pada jam 11 pagi setiap hari.
Namun dia hairan apabila pada Rabu kedua-dua anaknya itu
tidak memanggilnya seperti biasa sebaliknya hanya mendengar panggilan pemandu
van yang memintanya keluar rumah bagi melihat keadaan anaknya.
"Pemandu van berkenaan menyatakan sudah melanggar anak
saya sambil berulang kali meminta maaf.
"Saya menjadi panik dan buntu seketika melihat keadaan
anak hingga pada awalnya menjangkakan Nurhafizah dirempuh kenderaan lain.
"Pemandu van berkenaan kemudian meninggalkan lokasi
kejadian kerana mahu menghantar murid lain sebaliknya saya dibantu jiran untuk
menghantar anak ke Klinik Kesihatan (KKM) Masai," katanya ketika ditemui
pemberita pada Khamis.
Karmin berkata, Nurhafizah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala serta urat di belakang leher juga terputus sebelum disahkan meninggal dunia.
"Mungkin dia terseret dalam kemalangan itu namun kami
menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan dan tindakan mengikut
peruntukan undang-undang.
"Saya tidak sangka kehilangan anak dalam sekelip mata,
mungkin kejadian dapat dielak sekiranya pemandu van berkenaan lebih
berhati-hati," ujarnya.
Dalam kejadian pada jam 11.35 pagi itu, dua beradik terbabit
turun dari van sekolah berkenaan yang dipandu seorang wanita berusia 50 tahun
selepas tiba di hadapan rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi
Ishak dilaporkan berkata, pemandunya meneruskan perjalanan selepas melihat
abang mangsa turun dan melepasi belakang van sekolah terbabit serta beranggapan
mangsa turut mengikutinya.
Beliau berkata, tiba-tiba semasa bergerak ke depan pemandu
berkenaan terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah terbabit tanpa
disedari sebelum kanak-kanak itu dikejarkan ke KKM Masai.
Dalam pada itu, Karmin yang merupakan suri rumah berkata,
dia masih tidak dapat melupakan kejadian menyayat hati menimpa anak bongsu
daripada tujuh cahaya matanya itu.
Menurut Karmin, arwah mula menaiki van berkenaan sejak awal
tahun ini manakala Muhammad Afieq Miqhael pula sejak tahun lalu dan kedua-dua
beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Alam 2.
"Kejadian mengakibatkan Muhammad Afieq Miqhael trauma
kerana dia melihat keadaan Nurhafizah hingga membuatkannya menangis setiap kali
melihat gambar adiknya mahupun ketika kami bercerita kejadian yang meragut
nyawa arwah," katanya.
Dia dan suami, Nuljin Delson, 41, yang merupakan juru kimpal
reda dengan kejadian menimpa anak kesayangan itu dan mengakui sudah rindu
terhadap arwah.
Katanya, baru-baru ini dia sempat membelikan baju baharu
bagi arwah sempena Hari Raya Aidiladha dan anaknya itu kelihatan amat ceria.
"Dia pernah minta saya belikan tudung dan dia juga
seorang yang rajin ke sekolah walaupun tidak sihat.
"Semalam wajahnya memang berseri-seri seperti
kebiasaannya dan arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai di
sini kira-kira jam 6 petang, semalam," katanya yang berasal dari Sabah dan
sudah 20 tahun menetap di Johor.
Kredit: Sinar Harian
Artikel berkaitan: (VIDEO) Bukti CCTV adik Nurhafiza dilanggar dibahagian hadapan van sekolah bukan seperti dakwaan pemandu
0 Comments