KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan dan kesenangan hidup
dikecapi penyanyi Mila Jirin, ternyata banyak pengorbanan perlu dilakukannya
sebagai anak sulung.
Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin mendedahkan,
kehidupan keluarganya begitu daif suatu ketika dahulu sehingga ibu bapanya
perlu bekerja siang hingga malam demi mencari rezeki, biarpun ada kala
pendapatan tidak seberapa.
"Dahulu keluarga saya sangat daif kerana Ayah tiada
kerja tetap. Sebelum ini, kami hanya kerja kampung pada siang hari, manakala
malam pula ayah bermain muzik.
"Ayah kerja macam-macam, termasuk kerja kampung, main
muzik, melukis dan cari barang terpakai untuk dijual semula.
"Mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara
normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan atau dengan air garam itu
perkara biasa. Menemani ayah menjala ikan di laut tengah malam dan tunggu dalam
gelap di pantai.
"Rumah tanpa elektrik hanya lampu gaselin menemani
kami. Bumbung rumah bocor dan bila hujan lebat mesti penuh air dalam baldi atau
periuk.
"Sebagai kakak sulung, saya sudah boleh berfikir dan
menyaksikan pengorbanan mak ayah dalam membesarkan kami adik-beradik,"
kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu.
Melihat kesusahan dialami keluarga, Mila yang ketika itu
sudah menginjak usia 19 tahun bertekad mahu mencari jalan keluar, termasuk
mengambil penuh tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengubah nasib diri
bersama keluarga.
Mila berkata, dia sanggup berkorban apa sahaja demi membantu
memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.
"Alhamdulillah, pada usia 19 tahun sudah menggalas
tanggungjawab menjaga mak ayah, adik dan menjadi ketua keluarga. Saya minta mak
ayah berhenti kerja.
"Sebenarnya, bila sekarang saya lihat semula setiap
ujian yang Allah berikan buat kami sekeluarga adalah untuk membuatkan kami jadi
lebih kuat dan kuat untuk berjuang.
"Waktu susah, hinaan daripada orang sekeliling adalah
perkara biasa yang kami terima, tetapi kata-kata hinaan itulah yang membuatkan
saya memberontak untuk keluarkan keluarga daripada kesusahan.
"Ketika usia saya 21 tahun, dengan izin Allah, saya
dapat tunaikan janji dengan diri sendiri untuk hadiahkan rumah kepada mak ayah
dan adik-beradik," katanya.
Lantaran itu, Mila mengabadikan kisah kedaifan hidupnya
menerusi filem pendek berjudul Kakak yang juga karya istimewa sempena Aidiladha
yang sudah ditayangkan di semua platform media sosial peribadi dan syarikatnya,
Bizmilla Wedding Centre, kelmarin.
Kakak menceritakan pengalaman sebenar hidup Mila sebagai
anak sulung yang turut memaparkan kesukaran ibu bapanya dalam mencari rezeki
demi menyara keluarga.
Filem pendek itu ditulis oleh Mila dan diterbitkan pasukan
media daripada Bizmilla Wedding Centre sebagai karya istimewa sempena
Aidiladha.
Kredit: Berita Harian
0 Comments