Kehidupan kami sangat daif, saya sebagai anak sulung bertanggungjawab mengubah nasib keluarga - Mila Jirin

Kehidupan kami sangat daif, saya sebagai anak sulung bertanggungjawab mengubah nasib keluarga - Mila Jirin




KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan dan kesenangan hidup dikecapi penyanyi Mila Jirin, ternyata banyak pengorbanan perlu dilakukannya sebagai anak sulung.

 

Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin mendedahkan, kehidupan keluarganya begitu daif suatu ketika dahulu sehingga ibu bapanya perlu bekerja siang hingga malam demi mencari rezeki, biarpun ada kala pendapatan tidak seberapa.

 

"Dahulu keluarga saya sangat daif kerana Ayah tiada kerja tetap. Sebelum ini, kami hanya kerja kampung pada siang hari, manakala malam pula ayah bermain muzik.

 

"Ayah kerja macam-macam, termasuk kerja kampung, main muzik, melukis dan cari barang terpakai untuk dijual semula.

 

"Mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan atau dengan air garam itu perkara biasa. Menemani ayah menjala ikan di laut tengah malam dan tunggu dalam gelap di pantai.

 

"Rumah tanpa elektrik hanya lampu gaselin menemani kami. Bumbung rumah bocor dan bila hujan lebat mesti penuh air dalam baldi atau periuk.

 

"Sebagai kakak sulung, saya sudah boleh berfikir dan menyaksikan pengorbanan mak ayah dalam membesarkan kami adik-beradik," kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu.

 

Melihat kesusahan dialami keluarga, Mila yang ketika itu sudah menginjak usia 19 tahun bertekad mahu mencari jalan keluar, termasuk mengambil penuh tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengubah nasib diri bersama keluarga.

 


Mila berkata, dia sanggup berkorban apa sahaja demi membantu memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.

 

"Alhamdulillah, pada usia 19 tahun sudah menggalas tanggungjawab menjaga mak ayah, adik dan menjadi ketua keluarga. Saya minta mak ayah berhenti kerja.

 

"Sebenarnya, bila sekarang saya lihat semula setiap ujian yang Allah berikan buat kami sekeluarga adalah untuk membuatkan kami jadi lebih kuat dan kuat untuk berjuang.

 

"Waktu susah, hinaan daripada orang sekeliling adalah perkara biasa yang kami terima, tetapi kata-kata hinaan itulah yang membuatkan saya memberontak untuk keluarkan keluarga daripada kesusahan.

 

"Ketika usia saya 21 tahun, dengan izin Allah, saya dapat tunaikan janji dengan diri sendiri untuk hadiahkan rumah kepada mak ayah dan adik-beradik," katanya.

 

Lantaran itu, Mila mengabadikan kisah kedaifan hidupnya menerusi filem pendek berjudul Kakak yang juga karya istimewa sempena Aidiladha yang sudah ditayangkan di semua platform media sosial peribadi dan syarikatnya, Bizmilla Wedding Centre, kelmarin.

 


Kakak menceritakan pengalaman sebenar hidup Mila sebagai anak sulung yang turut memaparkan kesukaran ibu bapanya dalam mencari rezeki demi menyara keluarga.

 

Filem pendek itu ditulis oleh Mila dan diterbitkan pasukan media daripada Bizmilla Wedding Centre sebagai karya istimewa sempena Aidiladha.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments