"Kenapa kedai nasi ayam you asyik tutup?" - Restoran Shiha Zikir berdepan gangguan sihir

"Kenapa kedai nasi ayam you asyik tutup?" - Restoran Shiha Zikir berdepan gangguan sihir




Shah Alam: Penyanyi Shiha Zikir mendedahkan restoran nasi ayamnya, Shiha Zikir Nasi Ayam pernah berdepan dengan gangguan ilmu hitam atau sihir sepanjang lebih setahun beroperasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

 

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 36, berkata, dia juga selalu menerima panggilan dari beberapa kenalan yang mendakwa kedainya tidak beroperasi ketika mereka datang untuk makan di situ.

 

"Saya selalu dapat 'call' (panggilan) dari beberapa kenalan yang bertanya kedai nasi ayam saya dibuka pada hari apa dan kenapa kedai nasi ayam saya tutup sudah tiga hari?

 

"Saya terus bertanya kepada pekerja restoran betul ke kedai nasi ayam tutup dan mereka beritahu restoran buka macam biasa.

 

"Saya pun terdiam bila kenalan beritahu mereka sudah berhenti depan kedai tapi ia tutup," katanya.

 

Shiha ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua restoran nasi ayamnya di sini, hari ini.

 


Mengenai gangguan sihir lagi, kata penyanyi lagu Kalam itu, pada mulanya dia sukar untuk mempercayai perkara berkaitan mistik sedemikian.

 

"Pada mulanya, saya tak percaya perkara seperti itu tetapi sudah beberapa kenalan yang beritahu perkara yang sama.

 

"Saya juga ada ahli keluarga yang buka kedai makan juga dan beritahu gangguan seperti itu.

 

"Apapun, saya hanya berdoa banyak-banyak semoga Allah SWT permudahkan semuanya.

 

Pada masa sama, saya juga ada berjumpa dengan ustaz minta doa yang boleh diamalkan untuk melindungi dari gangguan sedemikian," katanya.

 

Sementara itu, mengulas insiden restoran nasi ayamnya di cawangan Kampung Baru yang dipecah masuk tahun lalu, kata Shiha, itu pengalaman dan dugaan pertamanya ketika mula-mula membuka kedai makanan.

 

"Saya baru buka kedai nasi ayam tapi sudah dipecah masuk dan dirompak dengan kerugian mencecah RM20,000 pada tahun lalu.

 

"Saya hanya relaks sahaja bila dapat tahu kejadian itu dan belajar macam mana untuk kendalikan kes itu dengan buat laporan polis dan sebagainya.

 

"Kes itu sudah selesai dan pencuri pun sudah ditangkap oleh pihak polis," katanya.


Kredit: Metro

Post a Comment

0 Comments