Kuala Lumpur: Seorang lelaki tidak dikenali bertindak
memecah masuk di kawasan kediaman pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa
Zainal di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Lelaki terbabit didakwa mempunyai niat tidak baik serta
dipercayai menghantar 'barang' sihir di rumah pasangan itu.
Menurut Wawa, satu laporan polis sudah dibuat dua hari lalu
selepas mereka menjumpai batang pinang serta kulit limau yang dibakar dua
minggu lalu.
"Pada mulanya saya ingatkan lelaki itu mahu merompak
tapi dua hari selepas kejadian itu kami jumpa barang pelik yang diletakkan
dalam kawasan rumah.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah saya
juga tidak dapat mengesan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan individu
itu.
"Malah jiran saya yang sempat merakam kehadiran lelaki
itu pun tak dapat mengesannya. Mereka sangat cuak dan berada dalam ketakutan
apabila individu tidak dikenali memecah masuk rumah saya," katanya.
Menurut Wawa, dia yang kini sibuk mempromosikan filem
Abnormal Buas tidak menyangka apabila masih wujud individu yang bertindak di
luar batasan dan tergamak melakukan hal sedemikian.
"Ini bukan kali pertama saya menemui barang pelik di
rumah dan pejabat, tapi tak sangka kejadian ini berlaku lagi.
"Saya ingatkan filem Abnormal Buas sudah cukup
menyeramkan, tapi tindakan individu ini yang berani memanjat rumah saya lebih
menakutkan kami sekeluarga.
"Harapnya tiada apa-apa yang berlaku kepada keluarga
saya. Moga kita semua dijauhi sihir dan perkara yang boleh memporak-perandakan
rumah tangga," katanya.
Terdahulu Aeril berkongsi wajah individu tidak dikenali
memasuki rumahnya dan berada dalam keadaan yang mencurigakan.
Pada hantaran sama, Aeril turut berkongsi foto barang yang
dipercayai sihir diletakkan di rumahnya berupa kulit limau dan batang pinang yang dibakar.
Netizen turut mendakwa lelaki tersebut mungkin merupakan jiran yang tinggal dikawasan perumahan tersebut kerana memiliki access card ketika keluar melalui pondok pengawal.
Kredit: Harian Metro
0 Comments