Nisya kerap diugut, takut mati dibunuh suami




IPOH – Wanita yang maut ditikam suami dalam kejadian di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah semalam, pernah membuat laporan polis selepas menerima ugutan jenayah daripada lelaki itu termasuk bunuh.


Abang mangsa, Shahiran Shaharun, 34, memberitahu, adiknya, Nisya Shahkila, 32, kini dalam proses penceraian selepas lebih setahun digantung tidak bertali oleh suaminya.


Katanya, dalam tempoh itu, anak kedua daripada enam beradik itu hidup dalam ketakutan apabila sering diugut melalui pesanan dan mesej suara di WhatsApp.


“Nisya mahu berpisah kerana suaminya kaki pukul. Dia tidak tahan kerana bukan dia sahaja, malah anak lelakinya (dari perkahwinan pertama) berusia sembilan tahun turut jadi mangsa.


“Apabila dia ambil keputusan untuk berpisah, suaminya ugut macam-macam sampaikan Nisya pernah suarakan kebimbangan yang dia takut akan mati dibunuh,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.


Menurut Shahiran, pada hari kejadian (Khamis), adiknya dan suami sepatutnya hadir ke Mahkamah Syariah bagi prosiding permohonan cerai secara fasakh.


Shahiran berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah, namun mengakui berasa terkilan dengan cara wanita itu diperlakukan hingga menemui ajal.


Allahyarham Nisya Syahkila dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah selesai solat Asar sebaik proses bedah siasat selesai.



Ibu kepada Allahyarhamah, Nisya Syahkila  iaitu Rozita Radzuan, 56, tidak dapat menahan kesedihan ketika berada di pusara arwah selepas selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor dekat  Batu Gajah, Perak hari ini.


Kredit: Sinar

Post a Comment

0 Comments