Kuala Lumpur: Laporan 'SeaAsia Stats' merekodkan bahawa
Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara di Asia Tenggara dengan
44.68 peratus penduduknya dikenal pasti sebagai individu bujang.
Untuk rekod, individu bujang ini boleh diklasifikasikan
sebagai individu yang belum berkahwin, bercerai berpisah, atau balu.
Statistik ini meletakkan Malaysia di belakang Filipina yang
berada di tempat pertama dengan 49 peratus daripada populasinya berstatus
bujang, diikuti Brunei dengan 44.9 peratus.
Kemboja, Myanmar dan Thailand masing-masing berada di tempat
keempat hingga keenam dengan 44.6 peratus, 29 peratus serta 23 peratus.
Ia diikuti Indonesia (22 peratus), Singapura (20 peratus),
Laos (17 peratus) manakala dua negara dengan individu bujang terendah adalah
Vietnam (16 peratus) dan Timor-Leste (13 peratus).
Kajian itu berdasarkan sumber daripada Divisyen Populasi
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Statistik Populasi & Bujang
berdasarkan data pada 2021.
Menurutnya, daripada 1970 hingga 2021, PBB mengumpulkan data
perkahwinan lebih 1.6 bilion individu bujang di seluruh dunia.
Data itu mendapati, pelbagai faktor menyumbang kepada
peningkatan individu bujang di Malaysia, termasuk pandangan terhadap
perkahwinan, peningkatan ekonomi serta meningkatnya keperluan sosial mereka
yang masih bujang.
"Saya tidak percaya dengan kata-kata lelaki lagi,"
luah Murni Abdullah apabila ditanya alasan masih bujang walaupun usia sudah
mencecah 41 tahun.
Murni yang juga usahawan berkata, kurangnya kepercayaan
terhadap lelaki adalah punca utama dia enggan berkahwin dan ingin kekal bujang.
Menurutnya, pengalaman hidupnya membentuk pandangannya
terhadap perkahwinan.
"Saya pernah mengalami beberapa hubungan namun ia
berakhir dengan kekecewaan dan penuh dengan pengkhianatan.
"Ini secara umumnya, menyebabkan saya hilang
kepercayaan terhadap lelaki," katanya.
Jelasnya, pengalaman itu bukan sahaja meninggalkan kesan
emosi mendalam malah mengubah pandangannya berkaitan hubungan jangka panjang.
Murni berkata, fokusnya kini adalah kepada kerjaya dan
kemandirian peribadi.
"Saya menemui kepuasan dan kebahagiaan dalam membina
perniagaan saya sendiri.
"Ini memberikan saya kebebasan dan kawalan terhadap
hidup saya yang mungkin sukar dicapai jika saya terikat dalam
perkahwinan," katanya.
Tambahnya, kejayaan dalam kerjaya memberikannya rasa
pencapaian yang tinggi dan kebebasan untuk membuat keputusan tanpa perlu
bergantung kepada orang lain.
"Kemandirian emosi dan kebebasan peribadi adalah faktor
penting dalam keputusan saya ini.
"Saya percaya bahawa kebahagiaan tidak semestinya
datang daripada perkahwinan. Banyak cara lain untuk menikmati hidup dan merasa
puas.
"Kebebasan untuk menjalani hidup mengikut kehendak
sendiri adalah sesuatu yang perlu dihargai," katanya.
Murni berkata, walaupun berdepan tekanan untuk berkahwin,
dia tetap teguh dengan keputusannya.
"Masyarakat sering memberi tekanan kepada wanita untuk
berkahwin dan mempunyai keluarga, tetapi saya percaya bahawa setiap individu
berhak membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri," katanya.
Bagi guru, Mohd Khairul Anwar Hamzah, 42, kewangan kurang
kukuh adalah faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan bilangan individu
bujang.
Menurutnya, kewangan terhad membuatkannya tidak mahu
membebani diri sendiri sekiranya tidak mempunyai wang cukup untuk berkahwin
seterusnya melayari kehidupan sebagai suami isteri.
"Kos untuk berkahwin juga besar. Kahwin hanya sekali
sahaja seumur hidup, jadi seboleh-bolehnya, kita mahu memberikan majlis
perkahwinan yang terbaik.
"Saya juga jadi takut untuk berkahwin kerana kos sara
hidup di bandar semakin meningkat dan tidak mahu terbeban dengan hutang
keliling pinggang di kemudian hari," katanya.
Tambahnya, kos sara hidup semakin tinggi berkenaan turut
menyebabkan individu berkaitan berasakan lebih sesuai untuk hidup membujang.
Sementara itu, jurutera, Abdul Aziz Yaakob, 44, berkata,
terlalu fokus terhadap kerjaya mengakibatkannya hilang minat untuk berkahwin
malah mahu kekal bujang.
Aziz memilih untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap
kerjaya kerana yakin ia tidak akan merugikan dirinya.
"Saya tiada masa untuk mencari pasangan atau jodoh.
Kalau ada yang berkenan, adalah. Jika sebaliknya, saya tetap bersyukur,"
katanya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments