KOTA BHARU, KELANTAN – Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanannya putus selepas motosikal yang dia tunggang bertembung sebuah motosikal lain di Jalan Jerus – Kok Lanas di Kampung Banggol Saman, Pasir Puteh dekat sini semalam.
Dalam kejadian petang semalam itu, mangsa yang berusia 17 tahun dan sudah tidak bersekolah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun yang menaiki sebuah lagi motosikal cedera p@rah.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS sedang dalam perjalanan dari Kok Lanas ke Kota Bharu.
Katanya, semasa melalui jalan di Kampung Banggol Saman, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan dipercaya hilang kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.
“Nahas tersebut mengakibatkan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Zaizul memberitahu, mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk dibedah siasat.
Katanya, dua lagi penunggang motosikal yang parah masing-masing dihantar Hospital Machang dan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
Kredit: Kosmo
0 Comments