KUALA LUMPUR: Dua penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search
dan Ella selamat menunaikan haji tahun ini.
Amy, 65, ditemani isterinya, Norhasniza Hassan, manakala Ella, 56, pula bersama suaminya, Azhar Ghazali.
Kedua-dua selebriti ini yang kini berada di Tanah Suci sudah
selamat bergelar haji dan hajah selepas selesai menunaikan fasa terakhir dalam
rukun haji.
"Alhamdulillah hari ini 10 Zulhijjah Ella dan Azhar
telah selesai sempurnakan sebahagian daripada rukun haji.
"Terbanglah ke sini mencari abadi, terbangkan ke mari
mencari hakiki," tulis Ella yang turut meninggalkan lirik lagu Rama-Rama
pada Instagram (IG).
Sementara itu, Amy pula menyifatkan pemergiannya ke Tanah
Suci bersama isteri adalah hadiah terindah untuk isterinya yang menyambut ulang
tahun kelahiran.
"Demi cintaku padamu, ke mana pun kan kau ku bawa, ke
hujung dunia ke bintang kejora.
"Wukuf hari teristimewa buat bidadariku. Ini hadiah
terindah daripada Allah SWT buat mu Hajah Nor, Hari panggilan yang dinantikan
dan lebih istimewa kerana hari wukuf jatuh di hari lahirmu.
"Begitulah aturan Allah SWT. Kita wukuf bersama di hari
terindah ini 9 Zulhijjah bersamaan 15 Jun 2024.
"Semoga kita mendapat haji mabrur. Selamat hari lahir
hajah Nor Hasniza Hassan. Cinta ku pada mu hingga ke Jannah," tulisnya
dalam satu hantaran di IG.
Selain Amy dan Ella, antara selebriti tempatan yang menunaikan haji pada tahun ini ialah Johan dan isteri, Ozlynn, Datin Alyah dan Elfira Loi.
0 Comments