KUALA LUMPUR: Tak pernah duduk goyang kaki dan hanya
membiarkan bapanya yang juga pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid
'terkapai-kapai' berdepan krisis kewangan dan masalah kesihatan.
Sebaliknya, anak bongsu, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman,
35, melakukan pelbagai kerja dengan mengetepikan perasaan malu demi menyara
bapa yang diserang angin ahmar, manakala kakaknya, Siti Qurratu Aini, 36, masih
menyambung pengajian.
Hinaan dan celaan hanya mampu ditelan Muhammad Al Syafiq
yang juga penuntut jurusan Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan (ASWARA) selepas kisah kediaman keluarganya perlu dikosongkan kerana
gagal membayar sewa tertunggak menjadi tular, baru-baru ini.
Namun, nasibnya dan keluarga dapat perhatian masyarakat
apabila ramai mengasihani dan membantu memudahkan urusannya sekeluarga.
"Jujurnya, sayalah orang paling malu sebab ramai bantu
saya dan keluarga.
"Dekan tahu saya ada masalah kewangan dan banyak bantu
hingga saya rasa segan. Ini termasuk mendapatkan bantuan daripada ASWARA.
"Saya juga ada dapat kerja sampingan seperti model
peragaan, tetapi gaji tidak besar, hanya RM500 untuk satu job.
"Selain itu, saya juga ada kerja lain, tapi gajinya
juga tak seberapa. Apa sahaja tawaran diberikan saya 'sapu' sahaja.
"Saya pernah bekerja sepenuh masa di gimnasium ketika
fasa pandemik COVID-19 secara sepenuh masa selama setahun setengah.
"Saya bukan sahaja jaga gimnasium, tapi saya sanggup
cuci tandas dan lakukan semua kerja demi sesuap rezeki," katanya.
Muhammad Al Syafiq berkata, dia tak berkecil hati berikutan
pelbagai persepsi dilemparkan hingga ada mendakwanya tak membantu bapa
menyelesaikan masalah kewangan memandangkan sepatutnya sudah mampu bekerja.
"Saya sedih membaca komen, tapi tak menyalahkan
sesiapa. Saya tak pernah hidup untuk orang, hidup dan mati kerana Allah SWT.
"Tak dinafikan menjalankan tanggungjawab sebagai anak
lelaki tunggal juga membebankan, apatah lagi, sedang menghabiskan pengajian.
"Saya sukar melakukan pekerjaan tetap dan menampung
perbelanjaan keluarga seorang diri, namun sedaya upaya mencari ruang menjana
pendapatan terutama bagi membayar sewa rumah RM1,300 sebulan.
"Saya penat, tapi tidak kisah dipersalahkan. Masalahnya
saya bekerja seorang diri untuk menampung perbelanjaan tiga beranak,"
katanya yang kini bekerja sebagai barista kedai kopi tepi jalan di Setiawangsa,
Kuala Lumpur.
Menjelaskan mengapa pilih sambung pengajian pada usia 35
tahun, Muhammad Al Syafiq berkata, dia pernah sibuk menguruskan syarikat
produksi dibangunkan bapanya, WWS Studios Sdn Bhd sebelum ini.
"Baru tahun lalu saya memutuskan menyambung pengajian
kerana bercita-cita mempunyai pekerjaan tetap.
"Saya mula sambung pengajian pada Ogos tahun lalu dan
insya-Allah, peringkat Asasi akan habis pada Ogos depan. Sebelum ini. saya
membantu ayah menguruskan WWS Studios Sdn Bhd sejak 2007," katanya.
Terus meluahkan perasaan, Muhammad Al Syafiq berkata, dia
perlu kuat demi keluarga.
"Kami pernah dapat terima dana dari Pelan Langkah
Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) dan menghasilkan program Deko
Ibadah sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Deko Ibadah siaran TV Alhijrah. Dari situ, saya banyak
belajar bagaimana kerja pengarahan dan program ini dapat rating bagus iaitu 1.2
juta tontonan untuk 13 episod. Itu antara program rating tertinggi di TV
Alhijrah.
"Selepas program Deko Ibadah habis tayang, saya katakan
pada ayah, kita sudah ada satu yang sudah siap, jadi boleh jual dan saya pula
mahu sambung pengajian.
"Ketika itu, kakak terlebih dahulu sambung pengajian di
ASWARA. Saya merasakan boleh 'skor', jadi saya ambil foundation dan niat nak
lompat terus ke peringkat sarjana.
"Saya nak mengikuti Program Akredirasi Pembelajaran
Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL)," katanya.
Apa yang menariknya, katanya, dekan menawarkannya bekerja
sebagai pensyarah sekiranya saya dapat sarjana, bermakna ada gaji tetap.
"Jadi sekarang walau macam mana pun saya perlu
menghabiskan pengajian. Keputusan dua semester lalu sangat cemerlang dan mudah
untuk saya sambung peringkat sarjana," katanya.
Tambah Muhammad Al Syafiq, dia berusaha bersungguh-sungguh
mendapat keputusan cemerlang meskipun bekerja separuh masa.
"Sebelum ini, siang dan malam saya bekerja, tapi
disebabkan jadual pengajian padat, saya hanya boleh bekerja pada hujung minggu.
"Jika ada masa terluang, saya akan bekerja. Siang pergi
kelas, malam bekerja. Begitulah rutin setiap hari," katanya.
Terdahulu, Dharma yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam
filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman yang
disewanya di Wangsa Maju kerana gagal membayar sewa tertunggak.
Pelakon veteran yang kini berhadapan masalah kesihatan
selepas diserang angin ahmar kusut memikirkan bagaimana hendak melunaskan
tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 berikutan notis sudah dikeluarkan dan
diberikan tempoh sehingga akhir bulan ini.
Kredit: Berita Harian
0 Comments