Sebak! Adik kepada Zayn Rayyan tunggu mommy, daddy pulang

 


PETALING JAYA – “Mateen menunggu kepulangan mommy dan daddy. Kerap kali buka pintu dan selak langsir, adakah mommy dan daddy akan datang ambil Mateen?”.


Demikian luahan sayu yang dikongsikan Datuk kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Zahari Mohd. Reba, 56, menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.


Menurut Zahari, adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Mateen sentiasa menunggu kepulangan ibu bapanya selepas mereka ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 1 Jun bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.


Terbaharu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan reman terhadap pasangan suami isteri terbabit disambung lagi selama enam hari dan akan tamat pada Rabu depan.


Bercerita lanjut, Zahari memaklumkan semalam Mateen mengalami beberapa simptom seperti orang demam dan kemungkinan disebabkan terlalu rindu kepada ibu bapanya kerana sudah lebih seminggu tidak berjumpa.


“Hari ini (semalam) badan Mateen macam demam, rindu dengan mommy dan daddy dia,” katanya.


Terdahulu, kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sebelum itu mereka ditahan di sekitar Puncak Alam pada 31 Mei.


Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.


Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. 


Kredit: KOSMO! 

Post a Comment

0 Comments