Siapa sangka dulu hanya gelandangan di Chow Kit, kini seorang jutawan pekasam

 


TAIPING: Kesengsaraan hidup di Lorong Chow Kit, Kuala Lumpur pernah diharungi lebih 10 tahun lalu, menguatkan azam seorang wanita untuk tidak berpaling masa silam, sebaliknya terus berusaha merebut peluang demi kelangsungan hidup lebih baik. 

 

Mengimbau kembali kisahnya menjadi gelandangan, Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman, 37, ditinggalka dengan bekas suami di lorong Chow Kit bersama seorang anaknya yang masih menyusu.


Menurutnya keadaan agak sukar, sehingga setiap hari dia berdoa untuk sesiapa sahaja memberikannya nasi untuk supaya dia dapat menyusukan anaknya.


 "Keadaan betul-betul susah dan perit, kalau boleh tak nak ingat dah. Setiap hari  doa ni hari-hari, ya Allah berilah aku nasi, aku nak tenaga untuk aku susukan baby" ujarnya sayu. 


"Hujan dan panas memang kami duduk kat situlah sampai anak sakit, kak Sha pun sakit. Malahan saya baru sahaja lepas bersalin secara  pembedahan. Kak Sha seminggu juga  tidur di kaki lima berlapikkan kotak".


Kak Sha mula terjebak jadi gelandangan bila saya dan suami berhijrah ke Kuala Lumpur. Bekas suami kak Sha terlibat dengan dadah menyebabkan dia terpaksa tidur kat kaki lima. Memang akak dipandang hina, ada pulak datang RM50 boleh? Bayangkan boleh orang anggap kita begitu? Kita nampak macam perempuan tak baik. 


Tapi takde orang pun tanya kenapa saya kat situ? Semua memandang hina sehingga sebulan akak duduk kat situ. 


"Satu hari seorang wanita berumur menegur akak, sebab dia tengok akak menangis setiap hari. Akak cerita kat dia masalah akak, akak bawa dia ke bangunan terbiar yang akak duduk dengan baby. Dia pun terkejut, macam mana boleh tinggal kat situ, Puan tu menangis. 


Sambungnya "akhirnya akak dapat kerja kat Yayasan Nurul Salam. Alhamdulillah akak buat macam-macam kerja untuk kelangsungan hidup. Akak pun dah boleh sewa bilik. Sehingga bekas suami akak mula datang dan kacau semula hidup akak. 


Akhirnya akak kumpul duit dan balik kampung tapi akak cakap dengan family, jangan tanya apa yang jadi kat kak Sha. Akhirnya akak dah boleh berniaga kecil-kecilan dan berjumpa dengan suami sekarang". 


Menurutnya, sebelum ini beliau berniaga kecil-kecilan di tepi jalan sehingga berkembang dengan mengusahakan perniagaan katering menerusi program di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

Katanya, bagaimanapun perniagaan kateringnya mengalami detik hitam apabila hampir berkubur ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19, sekali gus menyebabkan beliau dan suami, Zamri Halid, 48, beralih menceburi perniagaan produk pekasam.

 


"Tanpa disangka, suami mencetuskan ilham ketika sedang makan nasi berlauk pekasam yang kak Sha buat. Dia menyarankan agar lauk pekasam yang sedang dijamah itu dikomersialkan sebagai perniagaan baharu memandangkan katering langsung tidak dapat beroperasi ketika PKP.

 

"Pada keesokannya kak Sha terus memulakan langkah mempromosikan pekasam daging secara siaran langsung menerusi platform media sosial Facebook dan Alhamdulillah kini perniagaan pekasam kak Sha serta katering semakin berkembang," katanya.


Menerusi kilang kecil dibuka di Kamunting, beliau berupaya menghasilkan sembilan jenis pekasam di bawah jenama 'Pekasam Viral Shazam', selain acar buah.

 



Sharifah Nurul Shahida berkata, pada masa sama, beliau bergiat aktif menerusi platform Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan ia banyak mendorongnya untuk berada pada tahap sekarang.

 

"Usahawan di bawah STeP juga diberi peluang menyertai pelbagai kursus dan tidak akan pernah dipinggirkan, sekali gus memberikan motivasi untuk meningkatkan diri.

 

"STeP sentiasa ada dan mendengar suara serta keluhan usahawan, malah turut memantau naik turun perniagaan diusahakan. Malah, dulu saya pernah menganggap diri sendiri sebagai 'usahawan kampung' dan tak layak berada di mana-mana kerana hanya bergelar usahawan pekasam.

 

"Namun STeP membuka peluang untuk saya kembangkan perniagaan pekasam bersama acar buah ini ke peringkat antarabangsa, termasuk menerusi penyertaan Festival Islam dan Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2023, iaitu antara acara terbesar tahunan negara, minggu depan," katanya.

 

Ibu kepada seorang anak itu pernah merangkul pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Kecemerlangan Usahawan Peringkat Kebangsaan 2022 (Anugerah Usahawan Asnaf) dan Anugerah Khas Menteri Besar Perak 2021.

 



Sembilan jenis pekasam diusahakannya adalah pekasam daging, telur sotong, perut lembu, ayam, ikan gelama, ikan kembung, ikan lampam, ikan puyu dan ikan loma.

 

Katanya, pekasam daging, gelama, kembung dan ayam mendapat permintaan paling tinggi di pasaran dalam negara, manakala pekasam ikan gelama serta telur sotong pula mendapat permintaan pasaran luar negara termasuk Australia, Brunei, Singapura, Indonesia, dan Arab Saudi.


Kredit: Mingguan Wanita, Berita Harian

Post a Comment

0 Comments