Rantau Panjang: Pengapungan harga serta penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kerajaan menyebabkan pam diesel di beberapa stesen minyak di sempadan negara lengang manakala pam petrol sesak sehingga perlu menunggu giliran untuk membuat pengisian.
Tinjauan seawal jam 7 hingga 9 pagi mendapati, pembelian petrol RON95 secara berulang masih berlaku walaupun larangan sudah dibuat oleh kerajaan.
Pemerhatian mendapati, puluhan kereta Proton Waja memenuhi beberapa stesen minyak untuk mengisi petrol sebelum kenderaan terbabit dilihat masuk semula ke negara jiran.
Malah, ada dalam kalangan mereka dilihat ke lokasi lain selepas pengisian sebelum kembali semula ke stesen berkenaan untuk mengisi petrol.
Selain kebanyakannya didalangi kereta Proton Waja, kenderaan pacuan empat roda termasuk Pajero dan Hilux juga kelihatan membuat pengisian petrol RON95.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail ketika dihubungi memaklumkan jualan diesel di sempadan mengalami pengurangan manakala petrol pula berlaku peningkatan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai data yang tepat memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi baru bermula dan jumlah pengurangan serta peningkatan itu akan diperoleh akhir bulan ini.
"Namun sepanjang bulan ini sehingga semalam, tiada kes tangkapan dan rampasan membabitkan diesel.
"Sebaliknya hanya kes petrol direkodkan sebanyak 27 kes membabitkan rampasan 4,005 liter petrol bernilai lebih RM8,200.
"Kebanyakan penyeludup petrol menggunakan kenderaan biasa dengan kebanyakannya adalah Proton Waja disebabkan tangki yang besar," katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, Azman turut mengakui masih terdapat berlaku pengisian berulang di sempadan namun ia sukar dibuktikan berikutan kekangan anggota.
"Untuk membuktikan kegiatan berkenaan kita perlu berada di stesen terbabit 24 jam, sedangkan kita sendiri berdepan kekangan keanggotaan.
"Namun sekiranya perancangan kita untuk memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen di sempadan dilaksanakan, ia lebih mudah untuk kita membuat pemantauan," katanya.
Kelmarin, media melaporkan, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi diesel, sekali gus mengesahkan memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan sebelum ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah penyasaran subsidi bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.
0 Comments